Langgar SOP di kedai karpet: Mahkamah lepas tanpa bebas Neelofa, suami
Langgar SOP di kedai karpet: Mahkamah lepas tanpa bebas Neelofa, suami
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Seremban melepas tanpa membebaskan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atas pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet di Nilai, Mei lalu.
Keputusan dibuat majistret Mohd Firdaus Saleh selepas mengambil kira hujahan daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.
Mahkamah menetapkan 21 Dis ini bagi perintah pelepasan dan pembebasan (DNA), menurut laporan Sinar Harian.
Pada Mei lalu, Neelofa dan suami mengaku tidak bersalah atas tuduhan melanggar SOP PKPB di Mahkamah Majistret Seremban.
Neelofa didakwa dengan satu pertuduhan kerana gagal mengimbas aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual nama dan nombor telefon ketika masuk ke sebuah kedai karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada kira-kira 4 petang, 2 Mei lalu.
Sementara itu, Haris, yang juga dikenali sebagai PU Riz, didakwa dengan dua pertuduhan kerana gagal mengimbas aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam di lokasi sama pada waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan bagi kedua-duanya dibuat bawah Peraturan 19, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021.
Mengikut peraturan berkenaan, pasangan tersebut masing-masing boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan, jika didapati bersalah.
Pasangan selebriti berkenaan membuat pengakuan tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan majistret Mahyun Yusoff dan meminta dibicarakan.
Kemudian pada Oktober lepas Neelofa dan suami mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan melanggar SOP PKPB di sebuah kedai karpet, di Nilai.
Peguam yang mewakili pasangan itu, Wan Aizuddin Wan Mohamed berkata, representasi itu dikemukakan semalam bagi memohon AGC mempertimbangkan untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.
SUMBER : Sinar Harian