Anak Hantu main api muncul di Pantai Cenang
Anak Hantu main api muncul di Pantai Cenang
LANGKAWI- Anak Hantu main api muncul di Pantai Cenang dengan pelbagai aksi yang merbahaya turut menghiburkan pengunjung pantai itu pada setiap malam.
Aksi permainan api itu dilakukan oleh ‘budak pantai’ yang tinggal berdekatan pantai itu yang kebanyakan hampir semua boleh bermain api disebabkan persekitaran mereka tinggal di tepi pantai yang menjadi hiburan penduduk terutama golongan muda.
Pengusaha Bar Anak Hantu, Mohamad Bani Muda (35), berkata, sejak dari kecil dia melihat orang bermain api, maka dia mula berjinak-jinak melakukan latihan sendiri dengan ‘belajar’ daripada penduduk yang lebih dewasa di kampungnya.
“Kemudian saya melatih ahli baharu serta muda sehingga mereka boleh bermain api dengan baik dan terus dibenarkan mengadakan pertunjukan bahaya itu di pantai ini.
“Kebanyakan anggota Anak Hantu berusia 18 tahun ke atas, malah ada juga yang masih bersekolah tetapi dibenarkan mengadakan persembahan ketika musim cuti sekolah,” katanya ketika ditemui di Pantai Cenang, baru-baru ini.
Katanya, anggota kumpulan itu menerima gaji bulanan yang tidak tinggi tetapi mereka mendapat tips atau sumbangan ikhlas orang ramai yang menyaksikan persembahan mereka, ini bergantung kepada sumbangan harian orang ramai.
Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Agam berkata, setiap pengunjung yang mahu menonton lebih dekat persembahan Anak Hantu akan masuk ke kawasan khas dan disediakan tilam kecil atau tikar untuk duduk sambil membeli minuman yang disediakan.
“Permainan ini sangat berisiko kerana mudah mengundang bahaya kepada pemain, oleh itu latihan berterusan perlu dilakukan bagi meningkatkan kecekapan memusing tali berapi, menangkap dan menyambut kayu berapi, oleh itu langkah keselamatan perlu dititik-beratkan selalu.
“Malah pihak kami sentiasa menyediakan pemadam api dan guni basah sebagai menghadapi perkara yang tidak diingini,” katanya.
Manakala Pengurus persembahan, Muhamad Syazwan Hazani, 27 tahun, berasal dari kampung berdekatan dengan Pantai Cenang berkata, anggota kumpulannya mengadakan persembahan secara solo, duo, trio dan combo yang mempunyai antara 6 hingga 7 orang.
Katanya, mereka melakukan formasi dalam persembahan seperti pembentukan piramid manusia dengan rakan lain akan menyokong anggota kumpulan lain dengan api menyala dan memusing-musing batang api atau tali berapi yang dipegang.
“Persembahan ‘naga berapi’ ialah seorang permain akan ‘minum’ minyak gas dan disimpan di dalam mulut seketika dan menyemburkan minyak gas itu keluar ke arah api dan api akan marak.
“Selain itu, anggota kumpulan melakukan aksi melambung batang besi berapi setinggi hampir 10 meter ke udara, bunga api (sparkles) yang menggunakan bara arang untuk mengeluarkan api seperti percikan bunga api,” katanya.
Katanya, persembahan lain ialah kemahiran kayu berapi, pusingan tali berapi, dapat menangkap balingan tali api dengan kemas dalam setiap persembahan dan pam berapi ke udara.
“Saya gembira anak muda tempatan ini yang mahu berkecimpung dengan persembahan permainan api ini menunjukkan disiplin yang tinggi dan mula fokus dengan persembahan dengan meningkatkan pelbagai formasi dan kemahiran baharu dari sehari ke sehari.
“Saya berharap mereka akan terus maju dan tidak mustahil akan ‘dipikat’ oleh badan atau pengurusan acara untuk mengadakan persembahan di tempat lain, ada juga menerima pelawaan mengadakan persembahan di luar pulau ini,” katanya.-SAHIH.