DULU BEKERJA, KINI PEMILIK WARUNG ROTI PAYE POKOK JATI
DULU BEKERJA, KINI PEMILIK WARUNG ROTI PAYE POKOK JATI
Seorang pekerja di gerai membuat roti tempayan atau roti nan milik seorang warga Pakistan beberapa tahun lalu kini diusahakan oleh Asri Azmi yang berusia 31 tahun sebagai sumber pendapatan utamanya di bandar Kuala Krai, Kelantan.
Sebelum itu, dia yang bekerja di kedai itu, kini mengurus sendiri kedai itu selepas pemilik asalnya meninggal dunia. Inilah dipanggil tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia siapa yang tahu!.
Hidangan roti paye (tempayan) yang disebut dalam dialek Kelantan itu biasanya sesuai dijamah sepanjang masa dan tidak terhad untuk sarapan pagi, tengah hari atau malam.
Menurut Asri, dia memberi tumpuan sepenuhnya menguruskan perniagaan berkenaan bermula dengan memilih tepung gandum, mengadun, menguli seterusnya cara membakar dalam dapur seperti tempayan.
Warung kecil milik Asri itu, yang menjual roti paye berkenaan yang terletak di bawah pokok jati, sebenarnya memiliki peminatnya sendiri. Merasai sendiri keenakan roti berkenaan barulah tahu kesedapan air tangan Asri.
Sebelum ini gerai berkenaan sering bertukar tangan berikutan pemiliknya warga Pakistan terpaksa pulang kampung sebelum meninggal dunia.
“Walaupun bertukar pemilik, saya teruskan bekerja di sini sebelum diberikan kepercayaan untuk menguruskan kerana pemiliknya telah meninggal dunia.
“Kepercayaan yang diberikan itu saya guna sebaik mungkin untuk terus menjenamakan semula dengan ‘Roti Paye Pokok Jati’,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, sangat mengejutkan kerana mendapat permintaannya yang luar biasa dan tidak menyangka menjadi tumpuan ramai sehingga hari ini.
“Disebabkan lokasi gerai ini di bawah rimbunan pokok jati lalu dia namakan gerai berkenaan dengan nama sempena tempat ini.
“Kini gerai ini menjadi lokasi persinggahan pelanggan yang meneruskan perjalanan ke Gua Musang atau Ke Kuala Lumpur.
Berikutan permintaan pelanggan setiasa ada, dia tidak mengehadkan operasi perniagaan sebaliknya bergantung kepada bekalan roti yang masih ada.
“Biasanya saya mampu menjual lebih 50 keping ‘Roti Paye’ sehari dan jumlah itu bertambah apabila musim cuti,” katanya.
Katanya, walaupun dibantu oleh tiga pekerja dia terpaksa bertungkus lumus menyiapkan pesanan menerusi tempahan dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Apabila kelonggaran diberikan saya berasa lega kerana orang ramai boleh datang bersama keluarga atau kawan-kawan untuk menjamu selera di gerai disamping masih menerima tempahan dalam talian,” katanya.
“Roti paye dijual dengan harga berpatutan iaitu RM4 jika dimakan bersama kari daging cincang atau ayam, kari kambing (RM6) dan RM 2 jika dimakan bersama kuah kari sahaja,” katanya.-SAHIH.
.