REMAJA 16 TAHUN DIROGOL 400 LELAKI SELAMA ENAM BULAN
REMAJA 16 TAHUN DIROGOL 400 LELAKI SELAMA ENAM BULAN
NEW DELHI: Seorang remaja berusia 16 tahun bukan sahaja dikahwinkan dalam usia terlalu muda, bahkan mendakwa dirogol oleh 400 lelaki sejak enam bulan lalu di daerah Beed, Maharashtra.
Lebih menyedihkan apabila mangsa dieksploitasi secara seksual walaupun cuba memfailkan aduan kepada seorang anggota polis, lapor India Today.
Dia kini mengandung dua bulan.
Selepas remaja itu membuat aduan kepada pihak polis minggu ini, kes didaftarkan di bawah Akta Larangan Perkahwinan Kanak-Kanak, Akta Perlindungan Kanak-Kanak dari Serangan Seksual dan kesalahan rogol di bawah Undang-Undang Jenayah India.
Superintenden Polis di Beed, Raja Ramasamy berkata, seramai tiga orang ditahan berhubung kes tersebut.
Katanya, ketika remaja itu membuat aduan, dia kehilangan ibunya setahun lalu.
Ayahnya kemudian mengaturkan perkahwinannya lapan bulan lalu.
Bagaimanapun, mangsa mendakwa dibelasah dan disakiti oleh suami dan iparnya.
Disebabkan penganiayaan itu, dia melarikan diri dan kembali mencari bapanya.
Namun, bapanya enggan menerimanya dan dia terpaksa mengemis di stesen bas di Ambajogai di daerah Beed.
Di situlah bermula episod hitam dalam dirinya apabila dieksploitasi secara seksual.
“Saya didera oleh ramai orang. Saya pergi ke balai polis Ambajogai beberapa kali untuk membuat aduan, namun, pihak polis langsung tidak mengambil tindakan terhadap pelaku.
“Sebaliknya, saya yang diserang oleh pihak polis,” luahnya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA