EMPAT SEKOLAH DI KLANG BERGABUNG SAMBUT HARI MALAYSIA
EMPAT SEKOLAH DI KLANG BERGABUNG SAMBUT HARI MALAYSIA
KLANG: Buat julung kali, empat buah sekolah rendah bergabung menganjurkan Program Jalinan Kemerdekaan 2021 secara maya untuk memupukkan semangat patriotisme serta cintakan perpaduan di kalangan murid pada 30 September lalu.
Program itu juga bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia sekolah yang terlibat, Sekolah Rendah Islam (SRI) Hira’, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Utama (SKTKU), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pui Ying dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Meru.
Program tersebut merupakan cetusan idea Guru Besar, SRI Hira’, Zaroni Desa dan Guru Besar SKTKU, M. Khalimi Dalhan dan dikendali oleh empat pengacara cilik, Eusoff Dzihney M. Anwar dari SKTKU, Aisyah Farhani Muhammad Rizal (SRI Hira’), Yong Jia Xuzn (SJKC Pui Ying) serta Sathana Segaran (SJKT Jalan Meru).
Guru Penolong Kanan Kokurikulum SKTKU, Habshah Simon, berkata program itu bagi memupuk hubungan kerjasama serta mengerat silaturahim antara sekolah di sekitar lokaliti berhampiran serta menyemaikan semangat muhibah dalam kalangan guru dan murid.
Katanya, program secara tidak langsung menyediakan platform berkonsep pendidikan inklusif dalam meraikan kepelbagaian potensi murid di samping mencungkil dan menggilap bakat mereka menerusi beberapa aktiviti seperti berceloteh sebagai pengacara majlis, pembikinan video serta seni kaligrafi.
“Program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang kerana dapat mencungkil serta mengembangkan potensi dan bakat murid demi kemenjadian mereka yang secara tidak langsung khususnya dalam unit kokurikulum,” katanya.
Guru Besar SJKC Pui Ying, Choo Lay Yoong berkata, program itu dapat melahirkan rasa syukur dan bangga kerana berkolobrasi dengan sekolah pelbagai aliran selain berharap supaya rakyat Malaysia dapat terus berganding bahu serta memikul tanggungjawab bersama khususnya menangani wabak Covid-19 sekarang.
Guru Besar SJKT Jalan Meru, Susila Muniandy berkata, cetusan idea sebegini amat baik untuk diteruskan di masa hadapan demi membentuk generasi muda yang faham dengan keperluan hidup muhibbah serta saling menyayangi antara kaum.
Guru Besar SKTKU, M Khalimi Dalhan, berharap dalam memperbaharui tekad patrotisme, supaya tidak mempersia-siakan apa yang telah warga terdahulu tinggalkan disebabkan perbezaan antara kita, sebaiknya kita perlu meraikan dan pertingkatkan semangat jati diri.
Guru penyelaras dan pengarah Program itu, Fauziah Aripin dari SRI Hira’ berkata, program itu memberi pendedahan kepada murid sekolahnya yang beraliran agama dengan suasana sambutan kemerdekaan bersama-sama rakan berbilang bangsa.
“Di samping menjadi medan bertukar budaya kerja bagi guru sekolah pelbagai aliran yang terbabit kerana sekolah mempunyai kekuatan tersendiri serta perbezaan itu boleh dibentuk dan mewarnai masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan hidup penuh muhibbah.
“Program ini disusun dengan begitu rapi dan dimulakan dengan ucapan ringkas yang mahukan program berkenaan menjadi perintis jalan bagi kesinambungan program pada masa akan datang dalam usaha mempersiapkan generasi yang menghayati konsep Keluarga Malaysia. – SAHIH.