PENGASUH BINATANG
PENGASUH BINATANG
Johor Bahru: “Mengapa mereka sanggup memperlakukan anak saya seperti ini sedangkan anak-anak saya masih kanak-kanak dan bukan hamba abdi,” kata ibu tunggal, M Vikneswari, 30.
Vikneswari berkata, dia tidak sangka dua anak lelakinya berusia enam dan 11 tahun menjadi mangsa dera pengasuh yang merupakan pasangan suami isteri di Selesa Jaya, Skudai di sini.
Menurutnya, dia hanya menyedari perbuatan pasangan berusia 30-an itu selepas kedua-dua anaknya dihantar pulang pada Khamis lalu.
“Luluh hati saya melihat keadaan anak-anak saya dengan kesan lebam, luka hampir di seluruh badan kecuali di kemaluan.
“Mereka menanggung kesakitan dan dalam keadaan lemah serta tidak bermaya seperti orang kebuluran,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Nusa Bestari di sini, pada 29 September lalu.
Vikneswari berkata, dia mengenali pengasuh berkenaan menerusi rakannya dan dia turut memberi upah RM800 sebulan bagi menjaga anaknya sejak April lalu.
Menurutnya, akibat sibuk mencari rezeki, dia hanya berpeluang menziarahi anaknya sebanyak tiga kali sejak April lalu.
“Suami saya sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu dan saya merupakan ibu tunggal serta bekerja sebagai pembantu restoran.
“Saya memang kerap menghubungi pengasuh bagi mengetahui perkembangan anak dan mereka menyatakan mereka sihat.
“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini saya tidak dibenarkan untuk menziarahi anak dan pengasuh memberi pelbagai alasan termasuk menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontrak rapat pesakit Covid-19.
“Saya bertambah bimbang apabila pengasuh menyatakan seorang daripada anak saya terkena air panas ketika tempoh kuarantin,” katanya.
Vikneswari berkata, dia juga dimaklumkan hanya dapat bertemu dengan anak selepas 48 hari.
Selepas berkongsi kecurigaan kepada majikannya, P Anbarasu menyebabkan lelaki berkenaan menasihatkannya untuk membuat laporan polis.
Menurutnya, selepas membuat aduan polis, barulah pengasuh itu memulangkan anak dengan menghantar mereka pulang menggunakan khidmat e-hailing ke rumahnya di bandar raya ini.
Katanya, selepas itu anaknya mula cerita bahawa dia dipukul dan dicederakan dengan rotan, ditoreh pisau, disimbah air panas, dicucuh puntung rokok.
“Anak saya kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana dikhuatiri akan mengalami jangkitan kuman kerana luka di hampir seluruh badan.
“Saya berdoa semoga anak-anak kembali sihat dan saya tidak rela berpisah dengan mereka lagi sekali gus akan memberi jagaan kepada mereka.
“Diharap pihak polis mengambil tindakan sewajarnya atas pasangan suami isteri berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Anbarasu berkata, pihaknya terkilan dengan nasib menimpa pekerja restorannya itu.
“Mereka adalah keluarga susah dan tidak sangka ada yang memperlakukan anaknya sedemikian.
“Keadaan mereka amat menyayat hati dan diharap pengasuh berkenaan dijatuhi hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan ada menerima laporan berkaitan kejadian itu.
Menurutnya, tiga individu warga tempatan berusia antara 24 hingga 32 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan,lapor HM online
“Kami masih menjalankan siasatan berhubung laporan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.