PUTRAJAYA DISERBU ORANG RAMAI
PUTRAJAYA DISERBU ORANG RAMAI
PUTRAJAYA : Bandaraya pentadbiran negara, Putrajaya diserbu ribuan pengunjung yang mengambil peluang bersantai di hujung minggu bersama keluarga masing-masing di bulatan yang terletak di hadapan Masjid Putra, Putrajaya, di sini, hari ini.
Orang ramai juga bertumpu di sepanjang jalan menghala ke masjid tersebut yang turut dipenuhi kereta yang diletakkan di kedua-dua belah birai jalan tersebut.
Seorang pengunjung dari Klang, Nik Mohd Irsyad Afifi (32) berkata, dia terkejut apabila tiba di hadapan masjid yang banyak kereta diparkirkan di sepanjang jalan sekitar masjid dan bulatan sehingga sukar untuk meletak kereta.
“Saya dan keluarga sekadar untuk makan angin ke Putrajaya dan pergi di hadapan masjid, terkejut tiada tempat letak kereta dan sangat ramai, oleh kerana sudah dua kali berlegar di bulatan tersebut dan gagal mendapat tempat letak kereta saya terus balik ke Klang,” katanya.
Sementara itu, seorang penjual buih sabun, Mohd Auz Wizat berkata, memang pada hari ini sangat ramai orang, malah semalam (Sabtu) lagi ramai orang berkunjung ke situ.
“Saya tinggal di Prescint 19, turut terkejut kerana sejak minggu lepas bandar ini mulai dikunjungi orang ramai setelah agak lama “sunyi” kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghadkan pergerakan orang ramai.
“Saya menjual buih sabun ini sebagai mengisi masa lapang dan mencari pendapatan sampingan dan kadang-kala mendapat daripada hasil jualan antara RM150 hingga RM300,” kataanya.
Seorang penjual buih sabun, Muhammad Azhar berkata, kehadiran orang ramai mungkin rentas daerah sudah dibolehkan dan mereka mulai makan angin ke situ.
“Alhamdulillah, boleh juga saya mendapat pendapatan sampingan menjual buih sabun yang amat digemari kanak-kanak, dan buih sabun ini berkarga RM10 dan RM20.
“Banyak juga orang lain menjual minuman dan makanan ringan di sekitar kawasan ini dan orang ramai boleh membeli sambil bersantai bersama anak-anak masing-masing,”katanya.
Tinjauan SAHIH mendapati anggota penguatkuasa dan polis trafik turut mengawal lalu-lintas yang semakin sesak kerana terdapat pemandu meletakkan kereta mereka di tempat yang tidak dibenarkan menyebabkanb kesesakan berlaku.
Didapati orang ramai tidak melupakan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan cuba elak di tempat yang sesak.-SAHIH.