Pemandu Myvi dipercayai cuai, tiada lesen memandu
Pemandu Myvi dipercayai cuai, tiada lesen memandu
KLANG – Kemalangan maut melibatkan dua kenderaan termasuk jentolak sehingga mengorbankan seorang remaja perempuan di Jalan Telok Gong berhampiran Masjid Jamek di sini dipercayai akibat kecuaian pemandu Myvi memasuki laluan jentolak
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati semasa kejadian Myvi dari arah Pandamaran itu dinaiki tiga individu termasuk dua beradik.
Katanya, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di kawasan berhampiran lokasi kejadian selepas membeli barangan keperluan di kedai.
“Kereta dipandu lelaki berusia 19 tahun itu dipercayai dalam kadar kelajuan yang tinggi telah memasuki arah bertentangan sebelum melanggar bucket jentolak itu.
“Akibatnya, penumpang hadapan kereta Myvi dikenali Nurshaniza Alaudin berusia 18 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang maut merupakan rakan sekerja kepada pemandu kereta tersebut dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
Kata Shamsul Amar, dua lagi mangsa iaitu pemandu dan adik perempuannya berusia 15 tahun dihantar hospital sama untuk rawatan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan tidak mempunyai lesen memandu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987,” jelasnya, lapor kosmo online
Kosmo! terdahulu melaporkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun maut selepas kereta dinaiki terbabit
kemalangan dengan sebuah jentolak di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.