FOTO ANAK PAHANG ANAK MERDEKA MUNCUL JUARA PERTANDINGAN FOTOGRAFI
FOTO ANAK PAHANG ANAK MERDEKA MUNCUL JUARA PERTANDINGAN FOTOGRAFI
JERANTUT: Foto berjudul Anak Pahang Anak Merdeka milik Marliyana Mohamad Kama dari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Awam Kos Rendah Bandar Baru muncul juara dalam Pertandingan Fotografi LensaUniti anjuran KRT Daerah Jerantut yang diumumkan semalam.
Tempat kedua dimenangi oleh Mohamad Khairul Syafiq Rahman dari KRT Taman Inderapura dengan foto bertajuk Mencorak Generasi Pewaris Negara, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohamad Alif Razali dari KRT Paya Teh dan Kampung Besul.
Pegawai Perpaduan Daerah Jerantut, Rafidah Isnin berkata, penyertaan amat menggalakkan daripada 39 buah KRT yang ada di daerah ini dan pertandingan diadakan sempena bulan Merdeka.

“Setiap peserta perlu menghantar foto masing-masing bertemakan perpaduan yang asli, idea sendiri dan tidak diubahsuai dan tidak menyentuh isu sensitif.
“Selain itu, mempunyai mesej, tema dan kreativiti di dalam gambar serta teknikal, komposisi, warna dan pencahayaan foto yang dihasilkan,”katanya.
Katanya, banyak lagi program bakal menyusul akan diadakan oleh pejabat perpaduan daerah ini.
Pemenang pertama, Marliyana teruja apabila dimaklumkan oleh pengerusi KRT tempat tinggalnya berkaitan program pertandingan fotografi itu.
Katanya, kebetulan ada gambar diambil ketika berada di Kampung Gintong dekat sini bersama anak dan anak saudara di dalam simpanan.
“Saya meneliti kembali telefon bimbit dan memilih gambar tersebut untuk menyertai pertandingan dan tidak terfikir untuk menang, tetapi bersyukur foto saya dipilih untuk muncul juara.

“Diharap ada lagi pertandingan seperti ini kerana saya yakin orang ramai pasti ada gambar yang banyak kerana kamera sentiasa ditangan, hanya tunjuk dan tangkap melalui telefon bimbit,”katanya ketika ditemui di Pejabat Perpaduan Daerah Jerantut.-SAHIH.