TANAM KELADI HIASAN BOLEH JADI PENDAPATAN SAMPINGAN
TANAM KELADI HIASAN BOLEH JADI PENDAPATAN SAMPINGAN
JERANTUT: Seorang surirumah menjadikan tanaman keladi hiasan sebagai salah satu pendapatan sampingan memandangkan spesis keladi itu sudah menjadi kegemaran orang ramai sejak kebelakangan ini dan ada yang sanggup memilikinya walaupun perlu berbelanja mahal.
Surirumah itu, Normah Abah yang tinggal di Felda Jengka 24, pada mula memiliki beberapa pasu pokok keladi hiasan selain pokok hiasan lain dan pokok kegunaan masakan yang diperlukan ditanam sekeliling halaman rumahnya.
“Setelah pokok keladi saya semakin membiak, bermula dengan jiran saya dan kenalan yang datang ke rumah sanggup membeli beberapa pasu untuk dijadikan hiasan di rumah mereka, maka saya mula mencari jenis keladi hiasan spesis lain untuk menambah koleksi tanaman di rumah.
“Kini saya ada 45 jenis spesis keladi hiasan di rumah termasuk yang saya beli di pekan sahari atau di mana-mana kalau terjumpa di nurseri, saya akan membelinya jenis spesis yang saya tiada,” katanya.
Katanya, dia dimaklumkan ada orang kecurian pokok keladi hiasan yang berharga hingga ratusan ringgit, maka dia terus menanam pokok itu untuk dijual dengan harga yang berpatutan sebagai pendapatan sampingan.
“Saya pernah menjual pokok keladi jenis Mickey mouse berharga RM50, ada juga jenis lain sehingga RM100 seperti jenis cat tumpah, black carol dan beberapa spesis lagi.
“Saya turut memiliki keladi jenis Caladium gingerland, Caladium moonlight, Caladium white queen, Caladium Thai beauty atau keladi batik dan beberapa spesis lain,” katanya.
Katanya, penjagaannya sangat mudah, seminggu sekali diberi baja dan 3 atau 4 hari sekali saya akan menyiram pokok itu dengan air basuhan beras yang dikumpul bagi memberi kesegaran kepada pokok keladi itu selain sedikit terlindung.
“Pihak pengurusan Felda Jengka 24 sangat memberi sokongan kepada saya dan juga penduduk di sini untuk menghiasai rumah masing-masing di samping memperoleh pendapatan sampingan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, pihak pengurusan Felda turut membantu peneroka untuk mempelbagaikan cara meningkatkan pendapatan sampingan yang boleh dihasilkan hanya di sekeliling rumah.
“Selain tanaman seperti keladi hiasan, peneroka di sini turut menanam seperti lada dan sayur-sayuran secara fertigasi, malah ada yang menternak arnab daging yang dipasarkan di sekitar Felda ini, Bandar Pusat Jengka atau tempahan daripada luar
“Itulah untungnya tinggal di kampung di mana segala jenis pokok boleh ditanam di sekeliling rumah dengan mudah kerana kawasannya yang ada dimanfaatkan untuk kegunaaan sendiri atau boleh dijual,” katanya.
Katanya, peneroka di sini turut menternak ayam daging, kambing dan lembu sebagai menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan lagi sumber pendapatan selain menguruskan ladang sawit masing-masing.-SAHIH.
klik sinihttps://www.youtube.com/watch?v=dH8w1kAbvEo
.