TIDAK PUAS HATI ISTERI MINTA CERAI, SUAMI UGUT SIMBAH ASID
TIDAK PUAS HATI ISTERI MINTA CERA, SUAMI UGUT SIMBAH ASID
PETALING JAYA: Seorang mekanik mengugut menyimbah asid dan mencederakan isteri serta dua anaknya kerana tidak berpuas hati apabila wanita itu membuat permohonan untuk bercerai.
Suspek berusia 49 tahun ditahan di Kota Bharu, Kelantan, pada jam 5 pagi hari ini untuk membantu siasatan selepas polis menerima laporan daripada mangsa.
Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat, berkata dalam kejadian jam 11 pagi, 4 September lalu, mangsa berusia 28 tahun berada di kedai runcitnya bersama ibu dan dua anaknya sebelum didatangi suspek.
Menurutnya, lelaki terbabit mengugut menyimbah asid dan mencederakan wanita berkenaan serta anak-anaknya.
“Siasatan mendapati suspek berkahwin dengan isterinya pada 2015 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata yang tinggal bersama mangsa.
“Suspek dipercayai cuba menyerang mangsa disebabkan tidak berpuas hati dengan isterinya yang menuntut perceraian,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Shafien berkata, ibu mangsa sebelum ini turut membuat laporan polis ke atas suspek kerana menceroboh rumah pada 22 Jun lalu, dan suspek sudah dijatuhi hukuman oleh mahkamah mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Katanya, semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah termasuk kes berkaitan dadah.
Sebelum ini tular di media sosial rakaman video berdurasi dua minit lima saat yang memaparkan suspek bertindak mengugut mencederakan isterinya dengan menyimbah asid.