DUA KERETA BERTEMBUNG, WARGA EMAS MAUT
DUA KERETA BERTEMBUNG, WARGA EMAS MAUT
LIPIS : Seorang warga emas berusia 68 tahun maut dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan dua buah kereta di Kilometer 5, Jalan Lipis – Merapoh berdekatan Kampung Tempoyang di sini pada jam 9.00 malam, semalam.
Mangsa yang juga pemandu kereta, Raja Mohamad Raja Daud yang beralamat di Perumahan Awam Kos Rendah, Sungai Kerpan di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala .
Pemandu sebuah kereta lagi, Mohamad Zulfikri Suhaimin, 28, dan adiknya, Muhammad Syaiful Izwan Suhaimin, 19, yang beralamat di Kuarters Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan. Afzan Lipis yang turut berada di dalam kereta tersebut cuma mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.
Ketua Polis Lipis, Suprintendan Azli Mohd. Noor berkata, siasatan polis mendapati warga emas yang memandu kereta jenis Kia Sephia dari arah bandar Kuala Lipis pulang ke rumahnya di Padang Tengku ketika tiba di tempat kejadian dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan di KM 5, Jalan Lipis – Merapoh.
“Kereta yang dipandu warga emas ini telah bertembung dengan kereta jenis Honda City dari arah Merapoh yang dipandu oleh Mohamad Zulfikri.
“Warga emas ini meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Honda City yang terlibat selamat dan adiknya, Muhammad Syaiful Izwan cuma mengalami kecederaan kaki kiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, kejadian yang berlaku pada waktu malam itu melibatkan di sebatang jalan satu lorong dua hala yang lurus dan berlampu serta permukaan jalan kering.
Beliau berkata, mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk dibedahsiasat, manakala penumpang sebuah kereta lagi juga di hantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-SAHIH.