2 PENCURI DICEKUP SEBELUM SEMPAT BAWA LARI BARANG
2 PENCURI DICEKUP SEBELUM SEMPAT BAWA LARI BARANG
KLUANG – Dua lelaki yang memanjat bumbung dan masuk ke sebuah rumah di Impiana Bayu, Taman Seri Impian di sini hari ini tidak sempat melarikan barang curi apabila berjaya diberkas pihak polis.
Pergerakan kedua-dua suspek itu disedari seorang wanita yang berada di hadapan rumah mangsa sebelum menghubungi bapa tuan rumah tersebut dan pada masa sama menghubungi polis memaklumkan kejadian tersebut.
Lim Chek Chai, 61, berkata, rumah itu milik anaknya yang bekerja di Singapura dan selepas dimaklumkan wanita itu dia bergegas datang.
“Jiran juga bertindak menelefon polis memaklumkan mengenai kejadian dan saya terus bergegas datang ke rumah milik anak saya ini. Sebaik sampai saya dimaklumkan oleh polis, masih terdapat penjenayah yang berada di dalam rumah, lapor HM online
“Selepas saya membuka pintu utama rumah, salah seorang suspek sudah memegang kayu dan meluru ke arah saya. Akibatnya saya terjatuh selepas dirempuh kedua-duanya yang cuba melarikan diri,” katanya.
Dia yang merupakan seorang peniaga berkata, kedua-dua suspek kemudian berjaya ditahan polis.
Ketika kejadian, tiada sesiapa di rumah berkenaan dan dia selalu datang untuk membersihkannya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an positif dadah Methamphetamine hasil ujian saringan air kencing selain mempunyai rekod jenayah lampau.
“Lebih kurang 11.55 pagi, anggota MPV Zon 2 Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang telah menerima arahan dari Pusat Kawalan Daerah Kluang memaklumkan aduan pecahrumah di Taman Seri Impian, Kluang.
“Bertindak atas aduan tersebut , pada jam lebih kurang 12.15, anggota MPV dengan bantuan orang awam berjaya menahan dua lelaki tempatan dan merampas sebuah motosikal Jenis Yamaha Ego, dua pemutar skru, dua pemotong dawai, tangga boleh laras.
“Tangkapan direman hingga Khamis ini dan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.