DUDA 48 TAHUN TERLANTAR DIJAGA IBUNYA
DUDA 48 TAHUN TERLANTAR DIJAGA IBUNYA
JERANTUT : Seorang duda anak seorang, Mohd. Hamidi Khairudeen, 48, yang terlantar sakit berpunca pendarahan dalam kepala dan kemudian menjalani pembedahan pada awal bulan lalu, kini dijaga ibunya di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini.
Ibunya, Hasanah Mahamud Yusoff, 64, berkata, Mohd. Hamidi merupakan anak sulung daripada enam beradik, pada mulanya kerap meracau dan meronta di rumah lalu hantar untuk pemeriksaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) Temerloh.
“Anak saya ini dirujuk ke Hosptal Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk pemeriksaan pakar dan kemudiannya menjalani pembedahan kali pertama pada 8 Ogos 2021.
“Dia turut dibedah buat kali kedua di hospital yang sama pada 11 Ogos lalu, kemudian disusuli pembedahan bahagian kerongkong malahan keadaan sakitnya masih tidak berubah sehingga ini,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini hari ini.
Menurut Hasanah, dia dimaklumkan oleh pihak hospital tersebut, anaknya mengalami pendarahan dalam kepala kerana salah satu saluran darah telah pecah dan memerlukan rawatan susulan.
“Setelah menjalani pembedahan di HTAA, Kuantan anak saya dibawa pulang ke rumah dan cuma akan mendapat rawatan susulan di Hosas, Temerloh dalam bulan September ini, tetapi keadaan penyakitya tidak nampak berubah,” katanya.
“Sehingga ini selepas menjalani tiga kali pembedahan di HTAA Kuantan serta dirawat selama tiga minggu sebelum pulang ke rumah, kini Mohd Hamidi cuma terlantar di katil dan diberi minum susu khas menggunakan saluran menerusi bahagian hidungnya,” katanya.
Sementara itu, Juliyana Khairudeen, adik kepada Mohd. Hamidi, berkata, dia dan ibu menjaganya abangnya secara bergilir-gilir dan mereka telah membelanjakan hampir RM2,000 sebulan untuk keperluan abangnya seperti membeli susu, lampin pakai buang termasuk menyewa ambulans ke HTAA Kuantan dan HOSAS Temerloh.
“Selepas pembedahan bulan lalu, sudah dua kali abang saya berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan dan sekali lagi dalam minggu ini sehingga kami terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih melibatkan kos perjalanan kira-kira RM600 setiap kali perjalanan.
“Tanggungan perbelanjaan ini amat merisaukan ibu dan kami sekeluarga memandangkan pendapatan hasil sawit tidak seberapa selain komitmen banyak menyelesaikan pelbagai hutang,” katanya selain itu tidak menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Juliyana berharap, orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang boleh menghubungi dia, Juliyana Khairudeen menerusi talian 013 9978993 atau terus ke akaun Maybank bernombor 156141542153 (Juliyana),” katanya.-SAHIH.