Air masuk rumah ketika nyenyak tidur
Air masuk rumah ketika nyenyak tidur
PASIR GUDANG: Penduduk di Kampung Sentosa, Masai, di sini yang sedang nyenyak tidur dikejutkan dengan kejadian banjir kilat yang berlaku secara tiba-tiba berikutan hujan lebat yang berlarutan hampir tiga jam.
Hujan bermula kira-kira pukul 12 tengah malam hingga pukul 3 pagi itu menyebabkan para penduduk tidak sempat menyelamatkan kesemua barangan mereka.
Seorang penduduk, Mohd. Fairuz Mohd. Shah, 27, berkata, dia menyedari air mulai naik di pekarangan rumah kira-kira pukul 2 pagi sebelum masuk ke dalam rumah dua jam kemudian selepas hujan tidak menunjukkan tanda-tanda berhenti.
“Saya terus mengejutkan keluarga yang sedang tidur dan mengangkat barangan elektrik yang berada di bahagian dapur di sebelah bawah.
“Air memang naik dengan sangat cepat pada masa itu, apatah lagi belakang kampung kami terdapat Sungai Serai yang dikatakan airnya juga naik terlalu cepat ketika keadaan masih gelap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Sentosa, hari ini, lapor utusan online
Selain kampung tersebut, kejadian sama turut melibatkan Kampung Sentosa Barat dan Kampung Sentosa Damai selain Kampung Bukit Pulai, Taman Pasir Putih, serta Jalan Kampung Masjid, Masai.
Dianggarkan kira-kira 100 buah rumah terjejas, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuat setakat ini ekoran air mulai surut setelah hujan berhenti.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nora Bujang, 56, berkata, suasana agak kelam kabut apabila air naik begitu cepat menyebabkan rumahnya dimasuki air dan tidak dapat menyelamatkan apa-apa harta benda.
“Mujur saya tersedar daripada tidur dan terus mengejutkan suami serta anak-anak untuk menyelamatkan diri. Air mulai surut kira-kira pukul 6 pagi dan penduduk mula membersihkan rumah masing-masing selepas itu.
“Alhamdulillah meskipun tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan yang berada di bawah tetapi kami bersyukur tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Bagaimanapun menurut Nora, kejadian banjir kali ini tidak seteruk bencana sama yang berlaku pada awal Januari lalu sehingga menyebabkan penduduk dipindahkan ke Dewanraya Kampung Cahaya Baru.