DATUK ANTARA 3 DITAHAN CUBA SELUDUP DADAH
DATUK ANTARA 3 DITAHAN CUBA SELUDUP DADAH
NILAI: Seorang lelaki bergelar datuk antara tiga ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disyaki cuba menyeludup keluar dadah jenis methaphetamine dianggarkan bernilai RM14.4 juta menerusi Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Dalam serbuan oleh Cawangan Narkotik JKDM Ibu Pejabat kira-kira jam 4 pagi pada 31 Ogos lalu, sindiket berkenaan dikesan membungkus dadah seberat 400 kilogram (kg) dalam bungkusan teh dan diikrar sebagai troli barang.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir, berkata dadah berkenaan disimpan dalam dua kotak kayu besar untuk dieksport ke luar negara.
“Bertindak atas maklumat, kami menyita dua kotak kayu sebelum pemeriksaan menemui lapan kotak yang mengandungi 400 bungkus teh berisi bahan kristal jernih dipercayai dadah jenis methaphetamine seberat 400 kg dan dianggarkan bernilai RM14.4 juta,” katanya pada sidang media, hari ini.
Abdul Latif berkata, susulan rampasan itu, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 25 hingga 56 tahun termasuk seorang lelaki bergelar datuk di lokasi dan waktu sama untuk membantu siasatan.
“Kami sedang mengenalpasti fungsi ketiga-ketiga lelaki ini termasuk peranan seorang datuk berusia 48 tahun berkenaan.
“Hasil siasatan juga, kami mendapati sindiket ini sudah melakukan 11 penghantaran dadah ke luar negara sejak tahun lalu,” katanya.
Abdul Latif berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan mengikrarkan barang yang mengandungi dadah sebagai troli barang di dalam dua kotak kayu besar.
“Bagaimanapun ia sebenarnya mengandungi kotak yang berisi dadah yang disorok bersama pakaian. Modus operandi menggunakan bungkusan teh sudah sering digunakan, namun masih menjadi pilihan sindiket.
“Perintah reman terhadap suspek selama 14 hari bermula 31 Ogos. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya,lapor BH online
Tambah beliau, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan dadah, minuman keras dan rokok dengan memberi jaminan identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.