JUAL GULAI IKAN ASAM RONG SECARA PANDU-LALU DEMI KESELAMATAN BERSAMA
JUAL GULAI IKAN ASAM RONG SECARA PANDU-LALU DEMI KESELAMATAN BERSAMA
JERANTUT : Kerajaan telah mengumumkan kedai makan boleh dibuka secara ‘dine-in’ pada 10 Ogos lalu, tetapi masih ada yang bimbang untuk membukanya kerana ada syarat lain yang perlu diikuti selain tiada sambutan daripada orang ramai untuk masuk ke kedai di sekitar Felda Gelanggi 2 dan sekitar bandar pusat Jengka, di sini.
Syarat lain ialah ada sebilangan peniaga makanan di tanah rancangan Felda itu masing-masing masih belum melengkapkan dos suntikan vaksin, manakala pelanggan masih ada yang belum menerima suntikan sepenuhnya kecualilah warga emas.
Jalan selamat yang dipilih oleh kebanyakan pengusaha kedai makan, berniaga secara bungkus dan ‘pandu lalu’ bagi membolehkan pelanggan membeli makanan.
Malahan, ada sebilangan kedai makan yang masih belum beroperasi sehingga ini sejak 10 Mei lalu berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berselang seli pula dengan PKP Bersyarat dan terakhir kembali pelaksanaan PKP semula.
Bagi pemilik kedai makanan asam rong ikan sungai di Felda Kota Gelanggi Dua, Mohd. Simin Abdullah, 54, berkata, kedainya sudah empat bulan tidak beroperasi sejak penguatkuasaan PKP yang diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, walaupun sudah diberi kebenaran beroperasi untuk ‘dine-in’, tetapi dia masih bimbang keadaan semasa jangkitan wabak Covid-19 masih tidak menentu malahan di kawasan Felda itu sendiri terdapat penduduk yang bergejala dan menjalani kuarantin.
“Memandangkan suasana penularan wabak ini masih belum menurun lebih baik saya melanjutkan penutupan jualan makanan di kedai ini.
“Lagipun, saya sudah kehabisan wang untuk dijadikan modal kerana (wang) simpanan diperoleh hasil perniagaan sebelum wabak melanda banyak digunakan untuk barang keperluan dapur, membayar pinjaman kereta, rumah dan sebagainya,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut hari ini.
Menurut Mohd. Simin, faktor kurang mendapat bekalan ikan patin, tenggalan, kenerak, dan beberapa spesies lain untuk dimasak campuran asam rong antara punca kedai itu masih ditutup.
Mohd. Simin yang mempunyai empat orang anak berusia 29 hingga 18 tahun berkata, perniagaan makanan tempatan bersama isteriya, Ramlah Ahmad, 54, sebelum wabak Covid-19 mampu memberikan pulangan modal dan menyimpan.
“Tetapi, apabila penguatkuasaan PKP berlanjutan serta penularan wabak masih ketara membuatkan saya bimbang dan waspada untuk beroperasi semula walaupun banyak permintaan masakan tempatan daripada pelanggan dan kebenaran ‘dine-in’.
“Lebih baik saya tutup dan hanya berniaga secara pandu lalu demi keselamatan saya dan orang ramai, kita jaga kita bersama,”katanya.-SAHIH.