ROKOK SELUDUP RM6.3 JUTA DIRAMPAS
Berita Nasional
ROKOK SELUDUP RM6.3 JUTA DIRAMPAS
JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas rokok seludup berjumlah RM6.3 juta dalam dua serbuan berasingan di Plaza Tol Kempas dan kawasan Bumi Hijau Pandan, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay, berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan dua lelaki yang juga pemandu lori yang membawa muatan rokok seludup berusia 45 dan 48 tahun.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama di kawasan Plaza Tol Kempas pada jam 3 petang, polis menahan lelaki berusia 45 tahun dan merampas 4.2 juta batang rokok (420 kotak rokok) pelbagai jenama dalam sebuah lori dengan anggaran berjumlah RM3.2 juta.
“Seorang lagi pemandu lori berusia 48 tahun ditahan dalam serbuan kedua di kawasan Bumi Hijau Pandan pada jam 5.40 petang semalam dan merampas 4.16 juta batang rokok (416 kotak rokok) pelbagai jenama serta sebuah lori. Nilai rampasan kedua dianggarkan berjumlah RM3.1 juta.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk lori ialah berjumlah RM6.66 juta termasuk anggaran cukai yang juga rampasan rokok seludup terbesar di negeri ini setakat ini. Rokok seludup dijual dengan harga RM6 berbanding RM18 di pasaran…tentulah orang cari yang murah sebab itu permintaan tidak habis.
“Penyeludupan rokok seludup bukan perkara baharu, ada yang lalu jalan sah dan ada lalu jalan tidak sah. Bekalan rokok seludup ini untuk pasaran dalam negeri dan juga luar Johor,” katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, di sini hari ini.
Ayob berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.
Beliau juga berkata, pihaknya yakin kebanyakan modus operandi sindiket penyeludupan rokok ini tidak menyimpan bekalan mereka dalam stor, kerana mudah dikesan oleh pihak polis.
Katanya, modus operandi sindiket ini sama seperti yang lain, iaitu mereka transit di perairan antarabangsa (kawasan pantai timur), dipindahkan ke bot kecil kemudian akan bawa ke daratan diikuti aktiviti pemunggahan ke lori dan dihantar ke tempat dalam negeri atau luar Johor.
“Kebanyakan mereka tidak simpan dalam stor gudang lagi kerana gudang ini mudah dihidu pihak berkuasa.
“Kita sudah cadangkan kesalahan kontraband ini dimasukkan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan jenayah terancang sebab ini sindiket bukan individu, kita lebih mudah ambil tindakan terhadap mereka.
“Kita akan dapat tangkap semua terbabit termasuk ketua sindiket terbabit penghantaran. Kita sudah kenal pasti ‘kepala’ di atas tetapi untuk kaitkan dengan aktiviti penyeludupan ini adalah sukar.
“Kita dah cadangkan ini di Putrajaya supaya kesalahan ini dimasukkan di bawah SOSMA,” katanya.
Sumber: BH Online