ANWAR MENGHADAP AGONG SELASA DEPAN
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa dia akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Selasa depan untuk mempersembahkan butiran bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
“Saya ingin menjunjung kasih kerana Ke bawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober, Insya-Allah.
“Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini.
“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 23 September lalu, presiden PKR itu pada satu sidang media mendakwa dia mempunyai sokongan yang kukuh dan menyakinkan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dan mempunyai dokumen tetap yang tidak boleh diragui bagi membuktikannya.
Dia turut berkata telah diperkenan untuk mengadap Al-Sultan Abdullah pada hari sebelumnya tetapi ia terpaksa ditangguhkan susulan kegeringan baginda.
Perkara itu turut disahkan Istana Negara dalam satu kenyataan pada hari sama Anwar membuat sidang medianya.
Seri Paduka dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak 21 September dan berangkat pulang ke Istana Negara pada 3 Oktober lalu.
Ada yang mendakwa ini sekadar gimik Anwar, tidak kurang yang mendakwanya berbohong, dan ada pula tidak yakin memandangkan itu bukan kali pertama dia membuat dakwaan sedemikian.