BAWA MASUK TANPA PERMIT SAH, HAMPIR 50 TAN METRIK PASIR KUCING DIRAMPAS
BAWA MASUK TANPA PERMIT SAH, HAMPIR 50 TAN METRIK PASIR KUCING DIRAMPAS
KUANTAN – Padah bawa masuk pasir kucing tanpa permit import sah, sebanyak 49.98 tan metrik pasir kucing dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Pelabuhan Kuantan.
MAQIS dalam satu kenyataan media hari ini berkata, barang dagangan yang diisi dalam dua kontena itu dipercayai dari China dan dianggarkan bernil4i hampir RM40,000.
Katanya, semua barang dagangan terbabit kini ditahan untuk tindakan lanjut selepas pengimport gagal mengemukakan permit import MAQIS ketika pemeriksaan rutin dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh didenda mengikut Seksyen 11(3).
“Mengikut akta sama, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, MAQIS komited untuk melakukan tugasan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian, ikan dan haiwan yang masuk atau keluar dari negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Dalam perkembangan lain, tiada wabak kes denggi dilaporkan di negeri ini dalam tempoh 25 sehingga 31 Julai lalu.
Bagaimanpun menurut laporan itu, langkah berjaga-jaga dan amalan 10 minit cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk Aedes Tidak boleh diabaikan.
“Jumlah terkumpul kes denggi di seluruh negeri Pahang sebanyak 296 kes dan satu kematian pada tahun ini.
“Teruskan cari dan musnah tempat pembiakan jentik-jentik di dalam dan luar rumah hanya 10 minit diperlukan.
“Lakukan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk Aedes dewasa terutama pada waktu puncak (awal pagi dan lewat petang).
“Sekiranya demam segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran. Tindakan ini dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.