BUDAK LARI RUMAH MERAJUK DILARANG MAIN BASIKAL
BUDAK LARI RUMAH MERAJUK DILARANG MAIN BASIKAL
Shah Alam: Disebabkan merajuk kerana dilarang bermain basikal dan permainan video dalam telefon bimbit, seorang kanak-kanak lelaki merajuk hingga melarikan diri dari rumahnya di sini semalam.
Dia bagaimanapun ditemui seorang lelaki di Perhentian Bas Setia Alam sebelum dibawa ke Balai Polis Setia Alam.
Sebelum itu, tular video di media sosial mengenai perbualan kanak-kanak berusia 11 tahun itu dengan seorang lelaki dipercayai individu yang menemuinya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, bapa kanak-kanak itu yang berusia 44 tahun mengambil anaknya di balai polis berkenaan pada 10 malam.
“Kanak-kanak itu ditemui selamat dan dalam soal siasat, mangsa didapati keluar rumah pada 8.30 malam, kerana merajuk tidak dibenarkan bermain basikal dan bermain permainan video.
“Dia ditemui 200 meter dari kediamannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihaknya menegur keluarga kanak-kanak itu supaya lebih peka dan memantau anak mereka, lapor HM online.