BANTU ANAK BAYAR PTPTN, IBU CEKAL JADI USAHAWAN CENDAWAN
BANTU ANAK BAYAR PTPTN, IBU CEKAL JADI USAHAWAN CENDAWAN
BERA, 9 JULAI – Seorang penerokawati dari Felda Sebertak, di sini, Jamaliah Karim membuktikan kehidupan sebagai seorang ibu tunggal mampu berjaya sekiranya rajin berusaha.
Jamaliah yang menjadikan perusahaaan cendawan tiram kelabu sejak 10 tahun lalu sebagai pendapatan sampingannya berjaya merangkul Anugerah Usahawan Terbaik (Pertanian) yang diumumkan Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2021, kerlmarin.
Jamaliah berkata, idea untuk mengusahakan cendawan tiram yang diberi nama Cendawan Bonda ini tercetus selepas anak kedua daripada tiga anaknya terlibat kemalangan di tempat kerja dan sukar mencari peluang pekerjaan kerana bergelar Orang Kuran Upaya (OKU).
Bagi membantu anaknya membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jamilah nekad untuk mengusahakan cendawan tiram kelabu di belakang rumahnya yang berada dalam kawasan Felda Wilayah Mempaga.
Ibu berusia 61 tahun ini kemudian mendapat latihan dan bantuan peralatan daripada Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sokongan moral daripada pihak pengurusan Felda.
“Macam ni, mula ceritanya ada anak makcik yang nombor dua tu, dia ada kemalangan di kilang.
“Jadi nak hiburkan hati dia, mak abang ni tak keje, dia panggil diri dia abang.
“Macam mana nak bayar PTPTN lagi.
“Makcik katalah kalau payah nak cari kerja kita berniaga lah, tu yang buat cendawan,” katanya.
Bagaimanapun anak keduanya itu kini sakit dan bergantung harap kepada ibunya untuk menguruskan diri.
Katanya, pelbagai cabaran ditempuhi seperti mencari ilmu bagi melancarkan perusahaannya dan beliau bersyukur kerana berjaya menghasilkan 6,000 bongkah cendawan tiram.
Setiap hari, beliau akan mengutip 20 kilogram cendawan untuk dipasarkan ke pasar FAMA, peniaga barang basah dan peniaga cendawan celup tepung.
Beliau turut berkongsi tips menanam cendawan tiram kelabu menggunakan campuran 10 kilogram habuk kayu getah, satu kilogram dedak padi dan 100 gram kapur pertanian.
Jamaliah bertuah apabila kawan baiknya, Siti Hiasir Mei, sejak 45 tahun lalu yang juga merupakan seorang penerokawati turut menyokong minatnya itu.
Felda selepas ini merancang agar Jamaliah menjadi tenaga pengajar kepada usahawan baru di Felda Wilayah Mempaga.
“Jadi sokongan daripada Felda untuk usahawan banyak menyediakan kurus-kursus lah untuk menguruskan perniagaan keusahawanan, namun dari segi teknikal ni Puan Jamaliah banyak terima bantuan daripada jabatan pertanian,” katanya.
Terdekat, Jamaliah akan mengajar 30 usahawan cendawan tiram kelabu menerusi Kursus Asas Penanaman Cendawan Tiram.