KENA KOMPAUN SEBAB MAIN MAHJONG DAN GAGAL SOP
KENA KOMPAUN SEBAB MAIN MAHJONG DAN GAGAL SOP
LIPIS : Polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Lipis menyerbu sebuah rumah ketika empat suspek yang duduk menghadap sebuah meja kayu bulat dan sedang asyik bermain judi mahjong, kejadian berlaku di Taman Mutiara Indah Taman Benta Jaya, Benta, dekat sini, pada jam 5.20 petang, semalam.
Tiga orang lelaki Cina dan seorang wanita Cina berusia antara 40 hingga 59 tahun yang seronok bermain mahjong di ceruk dapur di rumah berkenaan ditahan polis.
Ketua Polis Lipis, Suprintenden Azli Mohd. Noor berkata, ketika serbuan, suspek begitu leka bermain mahjung sehingga tidak menyedari kehadiran polis di rumah itu dan pegawai yang mengetuai operasi terus memperkenalkan diri serta meminta kad pengenalan diri keempat suspek untuk diperiksa.
“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan berjudi, iaitu empat buah kerusi plastik, 184 buah batu mahjong, dua biji buah dadu, 20 helai kertas minyak, dua keping chip besar, 16 keping chip hijau, 22 keping chip ungu, dua keping chip kuning dan wang tunai berjumlah RM1,485 yang dipercayai sebagai pertaruhan judi berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek bermain judi jenis ‘Tai Kee’ berasaskan barang kes yang dirampas serta ditahan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 ,” katanya dalam kenyataan kepada media di Lipis hari ini.
Katanya, pegawai yang mengetuai operasi ini juga menjelaskan sebab tangkapan dan rampasan peralatan berkenaan kepada empat suspek berkenaan dalam bahasa yang lebih mudah difahami serta menerangkan hak-haknya yang diperuntukan di bawah Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ). katanya.
“Kesemua suspek judi masing-masing telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal serta berkumpul dan telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 18 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021,” katanya.
Katanya, mereka diarahkan supaya mengikut sepenuhnya SOP semasa PKP setelah kompaun dikeluarkan.-SAHIH.