DUA REMAJA DISYAKI MEREMPIT MAUT BERTEMBUNG SESAMA SENDIRI
DUA REMAJA DISYAKI MEREMPIT MAUT BERTEMBUNG SESAMA SENDIRI
TAWAU: Dua remaja lelaki yang disyaki sedang berlumba haram maut apabila motosikal yang dinaiki bertembung sesama sendiri di landasan Lapangan Terbang Lama, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, kedua-dua mangsa dipercayai menunggang motosikal dari arah bertentangan sebelum bertembung sesama sendiri.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, mangsa iaitu Rendy Salombe,15, dan Mohamad Ekhsan,16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah berikutan kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar.
Berdasarkan keterangan waris, Rendy menunggang motosikal dari Tanjung Batu Darat menuju ke Kampung (Kg) Vietnam untuk menghantar pengecas telefon bimbit manakala, Ekhsan dari arah Kampung Seri menanti menuju ke Lapangan Terbang Lama untuk membeli sayur.
“Saksi yang berada pada jarak kira-kira 30 meter dari lokasi kemalangan hanya melihat kepulan asap sebelum bergegas ke tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Peter, siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal tersebut bertembung dari arah bertentangan dan kedua-dua mereka disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram.
“Bedah siasat akan dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kematian. Bagaimanapun, ujian saringan mendapati Mohamad Ekhsan positif Covid-19. Sampel darah kedua-dua mangsa turut diambil untuk dianalisis jika mengandungi alkohol,” katanya.
Jelas beliau, pihak polis berusaha mengesan pemilik sebuah motosikal yang turut berada di lokasi kejadian memandangkan alamat pemilik berdaftar adalah di Semporna, lapor KOSMO online
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.