KERAJAAN HARUS BANTU PENTERNAK IKAN MEMASARKAN PRODUK MEREKA
KERAJAAN HARUS BANTU PENTERNAK IKAN MEMASARKAN PRODUK MEREKA
EKORAN KELUHAN PENTERNAK IKAN SANGKAR TIDAK DAPAT MENJUAL PRODUKNYA
TEMERLOH: Kerajaan sewajar membantu pengusaha ikan sangkar sungai dengan memberi kelonggaran seperti permit perjalanan untuk membolehkan mereka memasarkan hasil masing-masing keluar dari daerah Temerloh untuk menggelakkan berlaku kerugian lebih besar.
Perusahaan ternakan ikan sangkar Sungai Semantan, Sungai Pahang di Temerloh akan terjejas dan bakal mengalami kerugian disebabkan ikan peliharaan mereka tidak dapat dipasarkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang sedang dilaksanakan sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, keluhan pengusaha penternakan ikan sangkar itu ada benarnya kerana selagi tidak dipasarkan akan mengalami kerugian.
“Ikan patin sangkar perlu dijual ketika beratnya hampir dua kilogram setelah mencapai waktu puncak, kalau ditangguhkan lagi, ikan itu akan bertambah besar dan kemungkinan tidak boleh dipasarkan lagi dan penternak akan rugi.
“Saya bagi pihak pengusaha merayu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar memikirkan mekanisma yang terbaik bagi membolehkan pengusaha boleh memasarkan hasil mereka keluar seperti ke Kuala Lumpur atau Kuantan,”katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada pemain industri pelancongan di Bangunan Umno Bahagian Temerloh, hari ini.
Katanya, dalam pengurusan semasa wabak Covid-19, pihak kerajaan sewajarnya lebih peka kepada semua industri yang mempunyai cabaran tersendiri, seperti ikan sangkar Sungai Semantan atau Sungai Pahang, lambat dipasarkan akan mengalami kerugian.
“Begitu juga musim durian yang sedang dan bakal menjelang luruh di beberapa tempat tidak lama lagi akan turut mempunyai masalahnya sekiranya buah itu tidak dapat dipasarkan keluar dengan segera boleh mengundang kerugian.
“Kita cadangkan pihak kerajaan memberi permit lori untuk mengangkut hasil-hasil tersebut untuk dipasarkan ke tempat lain untuk menggelakkan kerugian yang teruk, kerana semua perusahaan mempunyai rantaian pasaran masing-masing yang tersendiri,”katanya.-SAHIH.