LELAKI WARGA ASING DISYAKI TERLIBAT DENGAN KES BUNUH DITAHAN
LELAKI WARGA ASING DISYAKI TERLIBAT DENGAN KES BUNUH DITAHAN
PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki warga asing disyaki terlibat dengan kes pembunuhan di sebuah rumah di kawasan Kota Damansara di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 2.50 petang semalam memaklumkan jirannya pulang ke rumah dalam keadaan cedera di muka dan badan serta berlumuran darah disyaki terlibat dalam pergaduhan.
“Bertindak atas maklumat itu, polis telah pergi ke sebuah rumah di Kota Damansara dan berjumpa dengan seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun yang mengalami kecederaan yang mendakwa telah bergaduh dengan seorang lelaki tempatan di kawasan semak berdekatan sebuah sekolah.
“Siasatan lanjut membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga tempatan di kawasan tersebut dengan kesan tetakan di kepala bersama sebilah sabit dipercayai senjata digunakan semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Fakhruddin berkata, susulan itu, polis kemudiannya menahan lelaki warga asing terbabit untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, mangsa berusia 51 tahun merupakan gelandangan yang tinggal di sebuah pondok dalam kawasan semak tersebut.
“Mangsa mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kes curi kenderaan manakala suspek tiada rekod jenayah lampau, namun tidak mempunyai rekod dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Mengulas lanjut, Fakhruddin berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Julai depan untuk siasatan lanjut, lapor KOSMO online.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana berada di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan,” ujarnya.