HARIMAU KEMBALI ‘MENGGANAS’ DI FELDA KERTEH 4
HARIMAU KEMBALI ‘MENGGANAS’ DI FELDA KERTEH 4
DUNGUN – Gambar lima ekor harimau yang sempat dirakam penduduk dipercayai menyerang ternakan lembu di kawasan ladang sawit di Felda Kerteh 4. – Foto ihsan Facebook Dr Azman.
Dr Azman (dua dari kanan) serta ADUN Paka, Satiful Bahri Mamat (kiri) meninjau keadaan lokasi yang menjadi sasaran harimau. – Foto Ihsan Facebook Dr Azman.Sekumpulan harimau dipercayai kembali ‘mengganas’ dengan menyerang lembu peliharaan penduduk yang diternak secara integrasi di dalam sebuah ladang sawit di Felda Kerteh 4 di sini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, berdasarkan rakaman gambar yang sempat diambil penduduk, terdapat lima ekor harimau di dalam kumpulan haiwan itu terdiri seekor ibu dan empat ekor anak.
Katanya, lokasi terbabit sering menjadi sasaran dan menarik kunjungan haiwan pemangsa itu memandangkan ia terletak di pinggir hutan serta terdapat kira-kira 1,000 ekor lembu dipelihara di kawasan itu.
“Berdasarkan gambar yang dirakam penduduk, terdapat seekor ibu bersama empat ekor anak harimau dianggarkan berusia dua tahun yang ditemui di Ladang Felda Kerteh 4.
“Kita percaya, harimau ini sedang melatih anaknya memburu kerana lembu-lembu yang dibunuh ini tidak dimakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, katanya, kejadian terakhir melibatkan serangan harimau di kawasan itu berlaku pada 14 Jun lalu.
“Kira-kira 240 ekor lembu milik peneroka telah menjadi korban selepas harimau mengganas di kawasan itu sejak 2019 sehingga Jun lalu. Mujurlah setakat ini hanya ternakan yang menjadi sasaran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, Unit Khas Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu telah berkampung di ladang berkenaan untuk melakukan pemantauan 24 jam setiap hari sejak Mei lalu.
Selain itu, katanya, pergerakan peneroka di ladang berkenaan juga dihadkan sehingga jam 6 petang dan dinasihatkan supaya memasukkan lembu ke dalam kandang sebelum senja bagi menjamin keselamatan agar tidak berlaku kejadian tidak diingini.
“Kamera infra red dan perangkap telah dipasang sebagai inisiatif untuk menangkap dan memindahkan harimau yang mengancam keselamatan ke lokasi selamat demi keselamatan warga Felda, ternakan dan harimau itu sendiri, lapor SINAR HARIAN.
“Kita juga minta supaya penduduk luar juga tidak mengunjungi tempat perkelahan air terjun yang terdapat dalam Felda,” katanya.
Dr Azman berkata, mana-mana penternak terjejas boleh memohon bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian.