TUNGGU HASIL SIASATAN SPRM
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu hasil siasatan dakwaan kegiatan pengubahan wang haram dilindungi pegawai atasannya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata jika dakwaan itu benar, pihaknya sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita menunggu apa juga laporan yang bakal dikongsikan oleh SPRM berhubung perkara itu.
“Sekiranya wujud unsur rasuah membabitkan warga PDRM dalam siasatan mereka, kita mengalu-alukan apa juga tindakan yang bakal mereka ambil,” katanya kepada BH, hari ini.
Abdul Hamid berkata, beliau memandang berat kes rasuah dan penyelewengan membabitkan pegawai dan anggota PDRM.
“Saya tidak akan sesekali berkompromi dan sekiranya ada, kami mengalu-alukan siasatan oleh SPRM,” katanya.
BH melaporkan ada dakwaan kegiatan Macau Scam dan judi dalam talian di negara ini dilindungi polis, termasuk pegawai atasan yang menerima habuan daripada sindiket terbabit.
Ini menyebabkan kegiatan mereka sukar dibanteras dan keuntungan haram yang diperolehi kemudian dicuci menerusi pelaburan perniagaan.
Perkara itu timbul susulan siasatan SPRM terhadap sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang disyaki menjalankan kegiatan pengubahan wang haram bernilai ratusan juta ringgit, baru-baru ini.
Wang yang diraih hasil kegiatan haram dilaburkan dalam perniagaan diusahakan selebriti tempatan.
Sindiket terbabit menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi atau pusat panggilan kegiatan haram berkenaan dengan menyasarkan mangsa di China dan Taiwan.
Kegiatan itu berjaya dihidu pihak berkuasa yang menahan beberapa individu disyaki untuk siasatan.
Setakat ini, lapan individu termasuk beberapa ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan Datuk ditahan susulan siasatan yang dijalankan SPRM.
Dua dari mereka bagaimanapun dibebaskan petang tadi dengan jaminan SPRM.
Selain itu, beberapa artis dan selebriti terkenal tanah air turut dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung perkara itu.