BATAL SIDANG MEDIA JALANI UJIAN COVID-19
Berita Nasional
BATAL SIDANG MEDIA JALANI UJIAN COVID-19
KUALA LUMPUR: Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dibatalkan bagi membolehkan beliau membuat ujian COVID-19 dan menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Keputusan membatalkan sidang media pada jam 2 petang itu dibuat selepas Ismail Sabri dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif COVID-19.
Pembatalan sidang media itu juga dibuat kerana Ismail Sabri enggan memberi risiko kepada petugas media, memandangkan beliau kontak rapat Zulkifli.
“Ramai orang persoalkan kenapa tiba-tiba saya membatalkan sidang media saya hari ini (semalam).
“Sebenarnya pagi tadi saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk membincangkan tindakan seterusnya untuk mengawal penularan COVID-19 seperti memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) zon Kota Kinabalu, termasuk Penampang dan Putatan.
“Selepas habis mesyuarat, saya dimaklumkan bahawa Menteri Hal Ehwal Agama positif COVID-19. Saya berada di dalam mesyuarat itu (bersama Zulkifli).
“Oleh itu, saya membuat keputusan segera untuk membuat swab test dan balik ke rumah untuk self-quarantine. Saya tidak mahu sidang media itu boleh membahayakan (petugas) media,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Mengulas mengenai ujian saringan COVID-19 yang dilakukannya hari ini, Ismail Sabri memaklumkan keputusannya dijangka diketahui hari ini.
“Insya-Allah esok (hari ini) keputusan swab test saya itu akan keluar. Doakan agar keputusannya negatif,” katanya.
Terdahulu, Zulkifli menerusi Facebook mengesahkan beliau positif COVID-19 dan menjalani rawatan di hospital di Seremban dan keadaan kesihatannya masih baik.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu turut meminta individu yang menghadiri majlis yang dihadirinya antara 24 September hingga 4 Oktober untuk menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 di klinik kesihatan.