KAD AHLI KARIAH UNTUK PELUANG SOLAT JEMAAH
KAD AHLI KARIAH UNTUK PELUANG SOLAT JEMAAH
JERANTUT: Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) mengeluarkan kad ahli untuk mengenal pasti orang tempatan atau ahli kariah masjid itu agar orang luar tidak dibenarkan masuk dalam tempoh prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0-Fasa 1, yang berkuatkuasa pada 1 hingga 14 Jun ini.
Langkah proaktif ini sebagai menyahut Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri yang hanya membenarkan 12 orang sahaja menunaikan solat fardu, manakala 50 orang untuk solat Jumaat.
Imam Satu, Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut, Mohd Fikri Hamzah berkata, sebenarnya sebanyak 200 kad ahli kariah telah dikeluarkan sebelum PKP 3.0 bermula, pihak masjid menambah 200 kad lagi sebagai memberi peluang ramai ahli kariah masjid itu untuk berjemaah.
“Kad ini yang mempunyai nombor siri dan didaftar atas nama pemiliknya, pemilik akan menunjukkan kad ini ketika ingin masuk untuk bersolat sebagai bukti ahli kariah dan kad kebenaran masuk ke dalam masjid akan dikeluarkan ikut bilangan SOP yang ditetapkan.
“Contoh, 12 orang pertama yang hadir untuk solat berjemaah fardu atau 50 orang pertama untuk solat Jumaat dibenarkan masuk sambil menunjukkan kad ahli, selebihnya tidak dibenarkan, manakala bukan ahli kariah walaupun yang datang awal tidak dibenarkan, langkah ini sebagai membenteras penularan wabak Covid-19 dan SOP yang dimaktubkan,”katanya.
Katanya, pemilik kad ahli masjid itu harus disimpan kerana keadaan semasa pandemik masih tidak menentu dengan bilangan kes baharu harian masih di tahap membimbangkan, mohon ahli kariah memberi kerjasama menjaga SOP sebagai menyokong kerajaan memutuskan penularan wabak.
Seorang Ahli Kariah Masjid itu, Syed Othman Syed Jaafar berkata, langkah positif memberi peluang sama rata kepada anak kariah masjid itu dan perasaan tidak puas hati untuk bersolat jemaah akan terhapus.
“Kad ini menjadi bukti kita anak tempatan, dimaklumkan solat Jumaat diberi peluang kepada semua 50 jemaah secara bergilir, sekiranya seseorang itu mendapat peluang solat Jumaat dan kehadirannya dicatat, kena menunggu 3 minggu akan datang untuk berpeluang sekali lagi, maka peluang terbuka kepada jemaah (ahli kariah) lain.
“Ini menolak unsur diskriminasi berlaku, saya berterima kasih kepada pihak MTMA Jerantut yang cuba sebaik mungkin untuk memberi peluang kepada semua anak kariahnya bersolat jemaah,” katanya.-SAHIH.