PANTAU IKLAN JUDI SECARA ATAS TALIAN UNSUR LUCAH
PANTAU IKLAN JUDI SECARA ATAS TALIAN UNSUR LUCAH
KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) memohon pihak berwajib memantau dengan lebih ketat iklan yang membawa unsur negatif yang boleh mencetuskan rasa tidak senang di kalangan orang ramai, kesatuan telah membuat laporan di Balai Polis Kepala Batas, pada 6.30 petang, 29 Mei 2021.
Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, terdapat iklan yang memaparkan permainan judi secara atas talian dengan menggunakan pelakon seorang lelaki yang memegang watak pelajar sekolah dan perempuan sebagai guru dengan unsur dan skrip menggoda dan lucah.

Katanya, kesatuan membantah sekeras-kerasnya iklan seperti itu dengan naratifnya berunsur lucah, menjijikkan sekali gus turut menjejaskan profesion keguruan.
‘Iklan itu mendatangkan kesan yang boleh meruntuhkan moral murid sekolah dan guru serta boleh menjadi bahan jenaka di kalangan pelajar khususnya ketika berada di dalam kelas dan meninggalkan kesan buruk jangka panjang.
“Pihak kesatuan mewakili suara guru memohon pihak kerajaan terutama kementerian dan jabatan terbabit mengambil tindakan tegas terhadap syarikat produk tersebut, penerbit dan watak dalam video tersebut,” katanya kepada SAHIH.
Katanya, sepatutnya etika pengiklanan perlu diikuti dan perlu dikuatkuasakan dengan menyekat iklan seperti itu daripada tular di media sosial yang boleh dilayari oleh lapisan masyarakat.

“Syarikat itu perlu dikenakan denda yang tinggi kepada semua yang terlibat. Jika denda tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dikenakan, kenapa tidak dikenakan kepada pihak yang menerbitkan iklan seperti itu.
“Warga pendidik dan masyarakat bekerjasama membuat bantahan terhadap syarikat penerbitan itu kerana sanggup membuat iklan yang menyentuh sensitiviti profesion keguruan serta institusi pendidikan yang boleh mendorong pelakuan tidak senonoh kepada anak-anak untuk melakukan perkara yang tidak baik,”katanya.
Katanya, ini bukan kali pertama, menjelang sambutan hari Raya Aidil Fitri terdapat syarikat berunsurkan judi secara atas talian telah mengiklankan syarikat mereka dengan mencemarkan kesucian hari kebesaran umat Islam.-SAHIH.