POLIS SIASAT RAKAMAN VIDEO TULAR BABITKAN ANGGOTA RELA
POLIS SIASAT RAKAMAN VIDEO TULAR BABITKAN ANGGOTA RELA
TEMERLOH: Polis daerah Temerloh mengesahkan sudah menerima laporan berkaitan rakaman video pertengkaran membabitkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan seorang lelaki di perkarangan masjid di daerah ini, yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, laporan itu diterima jam 2.25 petang semalam dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengetahui punca sebenar pertengkaran itu tercetus.
“Hasil siasatan awal mendapati video berdurasi dua minit 55 saat itu mula disebarkan melalui aplikasi WhatsApp sebelum dikongsi di media sosial lain.
“Dalam video itu, terdapat rakaman pertengkaran membabitkan seorang lelaki dipercayai bilal masjid dan seorang anggota RELA.
“Semakan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku di perkarangan Masjid Kampung Raja, dekat sini, dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Berdasarkan rakaman video itu, lelaki berkenaan dilihat mempersoalkan kehadiran anggota RELA bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di masjid itu.
Mohd Yusri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas) dan Peraturan 17 PU (A) 225/2020 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).- SAHIH