PENEROKA FELDA DAPAT DUIT RAYA DARI FGV
PENEROKA FELDA DAPAT DUIT RAYA DARI FGV
JERANTUT: Semua peserta tanah rancangan FELDA bakal menerima bayaran pengambilalihan saham dari FELDA Global Venture (FGV) secara berperingkat mulai Khamis ini.
Pembayaran itu sedang diuruskan FGV dengan pemantauan pihak pengurusan FELDA.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kaedah pembayaran dibuat menggunakan akaun bank milik peserta FELDA seluruh negara dan dijangka selesai menjelang hujung bulan ini atau selewat-lewatnya pertengahan bulan Jun.
PENGERUSI BIRO SOSIAL FELDA WILAYAH JENGKA, RAZAK DAUD
“Kalau boleh, perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin untuk memberi peluang kepada peneroka menikmati hasil (pulangan) untuk digunakan sebagai perbelanjaan sepanjang sambutan Aidilfitri.
“Berdasarkan maklumat yang kami terima, mereka (FGV dan FELDA) akan mula mengagihkan bayaran Khamis ini dan ia sudah tentu dapat membantu warga peneroka meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Razak berkata, sasaran asal FGV dan pengurusan FELDA adalah untuk mengagihkan pembayaran sebelum 12 Mei, namun berdasarkan perkembangan semasa, kebanyakan peneroka dijangka mendapat bayaran masing-masing secara berperingkat.
“Mungkin ada (peneroka FELDA) yang menerima bayaran esok atau hari Khamis, tapi saya difahamkan bahawa usaha untuk mempercepatkan (bayaran) sedang giat dilakukan pihak pengurusan FELDA dan FGV,” katanya.- SAHIH