PENGUATKUASA PANTAU PENJUALAN DAGING JALANAN
PENGUATKUASA PANTAU PENJUALAN DAGING JALANAN
JERANTUT: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, beliau dimaklumkan mengenai kegiatan peniaga daging jalanan yang menjual daging ternakan di tepi jalan, kampung dan Felda tanpa permit daripada jabatan berkaitan.
Katanya, kerajaan berharap penguat kuasa agensi berkaitan tidak teragak-agak mengenakan hukuman berasaskan peraturan dan undang-undang jabatan masing-masing supaya kegiatan penjualan daging di luar pasar terkawal.
“Setiap kali menjelang perayaan ramai peniaga muncul berniaga daging di tepi jalan di lokasi tertentu, tetapi umumnya mengetahui mereka berkenaan tidak mempunyai permit, harga tidak mengikut harga ditetapkan, jaminan kualiti daging diragui kerana bimbang ternakan berkenaan berpenyakit dan sebagainya.
“Saya menohon penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDNHEP) membuat pemeriksaan peniaga berkenaan termasuk ketulenan alat penimbang yang digunakan, manakala Jabatan Haiwan perlu memastikan peniaga memiliki permit serta memastikan ternakan yang disembelih bebas daripada penyakit dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, kerajaan juga bimbang kemungkinan wabak COVID-19 boleh menular berikutan ramai pelanggan yang berkumpul di tempat jualan di luar kawasan (pasar) terutamanya di tepi jalan, kampung dan Felda yang menjadi persinggahan ramai.
“Oleh itu, peniaga berkenaan perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikeluarkan oleh agensi tersebut serta mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu memandangkan negara ini dalam kawalan PKP,” katanya.-SAHIH.