DUKACITA INDIVIDU HINA INSTITUSI BERAJA
DUKACITA INDIVIDU HINA INSTITUSI BERAJA
SIASAT SEGERA AGAR ISU SEPERTI INI TIDAK BERULANG LAGI
JERANTUT: UMNO Bahagian Jerantut dan kepimpinan sayap-sayap UMNO bahagian itu melahirkan rasa dukacita terhadap individu yang melakukan kenyataan menghina terhadap Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong dan institusi beraja yang cuba melagakan rakyat dengan institusi itu.
Ketuanya, Datuk Nazri Ngah berkata, tindakan menghina institusi beraja itu perlu disiasat mengikut akta hasutan yang diguna pakai kerana cuba mengapikan perasaan rakyat untuk membelakangi institusi beraja ini.
“Pastinya rakyat jelata turut terkesan dengan kenyataan yang dikeluarkan berbau hasutan seolah-olah ingin melagakan rakyat dengan institusi beraja sedangkan rakyat dan raja berpisah tiada malah kami sebagai rakyat jelata amat menyanjungi isntitusi raja-raja kita.
“Pihak kami melihat apa yang sedang berlaku ini lebih kepada kepentingan politik dan menjadikan rakyat sebagai mangsa untuk mengadu ketidakpuasan hati mereka,” katanya selepas laporan polis dibuat di Ibupejabat Polis Daerah Jerantut, hari ini.
Sehubungan dengan itu, UMNO Jerantut mahu perkara ini disiasat mengikut Akta Hasutan kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh individu terbabit lebih kepada menghasut rakyat untuk membenci institusi beraja di negara kita
“Dinasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dengan tidak mengeluarkan kenyataan bersifat provokatif yang boleh mencetus perkara yang tidak diingini,”katanya.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud ketika ditemui berkata, situasi yang wujud itu memberi satu sentimen yang kurang enak di kalangan rakyat yang berbilang kaum di negara ini.
“Sewajarnya institusi beraja ini perlu dipertahankan sebagai kerajaan Raja Berpelembagaan yang disanjung tinggi.
“Diharap siasatan segera perlu dilakukan sebagai menghindari perkara sama seperti ini berulang lagi,”katanya.
Akta Hasutan bertujuan mengekang perbuatan yang boleh melahirkan kecenderungan menghasut terhadap institusi beraja, hubungan di antara rakyat-raja di negeri dalam Persekutuan, hubungan antara kaum serta hal berkaitan kewarganegaraan, bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu.