PAKAR AUDIO PERLU SAHKAN KETULENAN
PAKAR AUDIO PERLU SAHKAN KETULENAN
KUALA LUMPUR – Rakaman audio perbualan antara dua individu didakwa mirip Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu disahkan ketulenannya oleh pakar audio.
Yang Dipertua Dewan Negara, Dr Rais Yatim berkata, ketulenan suara kedua-dua pemimpin itu perlu disahkan agar perkara itu tidak terus menjadi duri dalam daging yang memanaskan politik negara, lapor Sinar Harian.
“Walaupun kedua-dua pemimpin itu menafikan itu adalah suara mereka, sukar untuk yakinkan (orang) dengan begitu sahaja lantaran suara mereka dikenali ramai.
“Jadi kalau mereka nafi, penafian itu harus substantif dan sifat substantif itu harus dibuktikan menerusi forensik,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-53/54 Badan Kebajikan dan Kemajuan Anak-Anak Melayu Negeri Sembilan Darul Khusus Di Kuala Lumpur di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini pada Sabtu.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kontroversi rakaman audio itu yang tular di media sosial sejak Rabu lalu.
Rakaman audio berdurasi empat minit 17 saat itu mencetuskan kontroversi akan wujudnya penjajaran baharu politik negara.
Antara lain klip audio itu memaparkan suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu menerusi panggilan telefon.
Berikutan itu, Rais berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan menyiasat ketulenan audio itu dengan bantuan pakar audio atau suara.
Mengulas lanjut, beliau turut meluahkan kekesalan dengan penyebaran bahan seperti klip audio sebegitu dengan niat untuk memecahbelahkan orang Melayu.
“Politik orang Melayu hari ini terlalu berkecamuk dan rumit sedangkan kita mempunyai matlamat nasional yang berkaitan dengan masa depan negara.
“Dengan menjadikan bahan-bahan ini sebagai perkara yang memecahbelahkan kita, ia tidak akan melunakkan keadaan dan sukar bagi kerajaan yang berkuasa untuk meneruskan tanggungjawab,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Katanya, keadaan itu juga akan menyebabkan orang Melayu semakin dipandang rendah.
“Sistem nilai kita sudah mula reput sebab itu kita tidak lagi berpegang kepada perkara yang benar.
“Sepatutnya berilah peluang kepada kerajaan hari ini supaya dapat membina kekuatan dan selepas itu dalam pilihan raya, tentukanlah apa yang sepatutnya dilakukan,” katanya.