KADAR ZAKAT FITRAH PAHANG KEKAL RM7
KADAR ZAKAT FITRAH PAHANG KEKAL RM7
PEKAN – Kadar zakat fitrah bagi negeri Pahang tahun ini kekal RM7 sebagaimana diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kadar itu kekal sejak 2013.
“Kaedah bayaran ini tertakluk Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara digariskan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.
“Bagaimanapun pihak Muip menggalakkan orang ramai membuat pembayaran secara dalam talian melalui platform ezakat.muip.gov.my dan aplikasi PahangGo,”katanya dalam sidang akhbar pengumuman kadar zakat fitrah Pahang 2021 di Pejabat Muip di sini, hari ini.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Muip (Baitulmal dan Operasi) Dr. Asmadi Abd Rahman.
Menurut Ahmad Hairi, kaedah bayaran zakat fitrah pada tahun ini adalah melalui 942 amil dilantik untuk melaksanakan urusan kutipan.
Justeru beliau mengingatkan mana-mana pihak yang didapati memungut zakat fitrah tanpa kebenaran Muip boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali,”katanya.
Sementara itu beliau berkata, bagi membendung penularan wabak Covid-19 beberapa garis panduan ditetapkan bagi pembayaran melalui amil di kaunter bayaran yang disediakan, lapor KOSMO! Online.
Beliau memberitahu, antaranya ialah tiada lafaz akad dan bersalaman dengan hanya doa ringkas dibenarkan dengan mengamalkan SOP sedia ada termasuk penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.
Selain itu katanya, individu bergejala tidak dibenarkan hadir dan pembayar diminta menyediakan wang secukupnya mengikut jumlah yang perlu dibayar.