TIADA ISTILAH PEMAIN KAYANGAN
TIADA ISTILAH PEMAIN KAYANGAN
KUALA LUMPUR: Ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekadar memberi amaran keras kepada pemain Kelantan FC, Jack Hindle atas kesalahan menolak pengadil, ada penyokong yang sinis menyatakan itu hanyalah sekadar wayang daripada badan induk itu.
Mereka mendakwa Jack hanya mendapat amaran kerana badan induk mahu memberikan hukuman yang sama kepada pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa yang juga menolak pengadil perlawanan ketika aksi bertemu Perak FC, 21 Mac lalu, lapor Berita Harian.
Namun sebaliknya berlaku apabila pemain berdarah campuran itu dihukum lebih berat berbanding Jack apabila didenda RM10,000 dan penggantungan satu perlawanan sekalipun hanya satu penggantungan automatik dan selebihnya ditangguhkan yang dilihat sedikit pelik.
Melihat kepada situasi ini, pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli menyifatkan tindakan FAM itu sebagai pendekatan yang membuktikan mereka sama sekali tiada double standard atau pilih kasih ke atas mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).
Malah, beliau menegaskan hukuman terbabit memberi petunjuk yang tiada pemain pasukan kayangan dalam kancah bola sepak tempatan yang boleh terlepas sekiranya melakukan kesalahan sebaliknya mereka juga boleh dihukum sama seperti pemain lain.
“Saya hormati keputusan Jawatankuasa Tatatertib (FAM) atas hukuman penggantungan itu kerana ini menepis tanggapan penyokong yang selama ini beranggapan ada pasukan dapat keistimewaan dalam Liga M.
“Saya rasa hukuman itu diputuskan dengan mengikut peruntukan yang ada dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ataupun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Mungkin juga berdasarkan kes yang pernah terjadi sebelum ini.
“Jadi tidak timbul isu pemain kayangan atau pasukan kayangan. Ibarat kata pepatah kerbau menanduk kerbau pergi, siapa bersalah pasti akan dapat hukumannya.
“Semoga hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada semua pemain di mana kalau mereka ambil tindakan sebegini (tolak pengadil), maka hukuman sebeginilah yang akan diterima,” katanya.
Dalam masa sama, Pekan mengharapkan badan induk itu akan terus konsisten dalam menghakimi pemain supaya tidak timbul percanggahan pada masa akan datang.
“Kalau ada insiden dengan fakta kes yang berlaku lagi selepas ini, jadi hukumannya perlulah konsisten. Jangan kes ini dikenakan penggantungan tetapi kes selepas ini, tiada penggantungan.
“Ini kerana mesej yang jelas perlu diberikan kepada pemain. Jangan sampai pemain melihat hukuman ini terlalu ringan dan mencetuskan perkara lebih buruk seperti menumbuk pengadil pula,” katanya.