GENG PLASTIK IJA BERSIH PANTAI TERENGGANU
GENG PLASTIK IJA BERSIH PANTAI TERENGGANU
KUALA TERENGGANU: Kira-kira 100 ahli Geng Plastik Ija (GPI) (Ija bermaksud hijau dalam dialek Terengganu) yang antaranya merupakan golongan profesional, sepakat mengambil inisiatif mengutip sampah dan membersihkan kawasan pantai serta pulau pada setiap hujung minggu.
Pengerusi GPI, Zulkefli Sarji berkata sejak diwujudkan pada 2017, setiap minggu sudah menjadi kebiasaan para ahli memakai baju t-shirt rasmi berwarna hijau dan membawa plastik sampah yang juga berwarna hijau mengutip sampah-sarap di sekitar pantai, lapor Bernama.
“Pada mulanya hanya saya dan isteri Normazita Ali, 45, sahaja yang melakukan aktiviti ini secara sukarela kerana kami selalu menghabiskan waktu petang dengan berjalan-jalan di pantai.
“Namun kami berasa sakit mata melihat begitu banyak sampah dan sisa makanan yang ditinggalkan pengunjung, jadi kami pun mula mengutip sampah, selepas itu ada pula rakan kami yang berminat untuk turut serta (mengutip sampah),” kata jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas berumur 52 tahun itu ketika ditemui pada program pembersihan Pantai Pandak di Chendering, di sini.
Katanya, ada di kalangan ahli menguar-uarkan aktiviti ini di media sosial, kemudian ahli tersebut semakin berkembang sehinggalah tertubuhnya GPI ini.
Namun pada 2019 seiring dengan pertambahan ahli, termasuk dari Kuala Terengganu, GPI melebarkan aktiviti mereka ke kawasan pantai sekitar Kuala Terengganu, Marang, Setiu dan Besut.
Zulkefli berkata, selain menganggap usaha itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab fardu kifayah, mereka juga berharap ia dapat menjadi contoh yang baik dan membuka mata masyarakat untuk turut sama menjaga kebersihan pantai.
“Pantai ini adalah magnet rezeki. Apabila pantai cantik dan bersih akan ramai orang, termasuk dari luar Terengganu datang berkunjung.
“Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan kerana mereka boleh berniaga makanan dan sebagainya,” katanya.
Zulkifli berkata, GPI turut melibatkan penyertaan pelajar, termasuk dari pusat tahfiz dan sekolah sebagai usaha melahirkan golongan muda yang lebih bertanggungjawab.