SERBU PREMIS BUNGKUS SARUNG TANGAN GETAH TERPAKAI
SERBU PREMIS BUNGKUS SARUNG TANGAN GETAH TERPAKAI
RAUB: Operasi bersepadu bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Bentong menyerbu sebuah premis dipercayai menjalankan aktiviti pembungkusan semula sarung tangan terpakai di Bukit Tinggi, Bentong, semalam.
Semasa pemeriksaan dilakukan, terdapat sejumlah sarung tangan getah tanpa jenama yang belum dibungkus dan masih dalam bentuk ceraian berada di dalam premis tersebut serta terdapat sebilangan sarung tangan getah yang telah siap dibungkus di dalam kotak.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah Cawangan Raub, Rozma Ab Rahman berkata, hasil pemeriksaan, premis yang diperiksa merupakan sebuah premis tertutup yang menjalankan aktiviti pemprosesan semula sarung tangan getah.
Katanya, seramai 27 orang pekerja iaitu 22 orang lelaki warganegara Myanmar, 4 wanita warganegara Myanmar dan seorang lelaki tempatan turut ditahan oleh BSJ IPD Bentong.
“Hasil serbuan menjumpai satu guni jambo berisi sarung tangan getah 9 unit, kotak berisi sarung tangan getah (380 unit), plastik berisi sarung tangan getah (887 unit), bakul plastik berisi sarung tangan (183 unit) dan plastik sarung tangan getah (619 unit).
“Selain itu, turut disita electric balloon pump bertanda 79 unit dan bekas bakul plastik pelbagai warna (19 Unit), tong air 17 unit, tong gas (2 unit), periuk bersaiz besar (1 unit), set dapur masak (1 set) dan extension Plug (8 unit),” katanya.
Tindakan kes telah diambil oleh Lembaga Getah Malaysia di bawah Per.22(1)(b) Peraturan-peraturan Lembaga Getah Malaysia (Perlesenan & Permit ) Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996 (Akta 551).
Akta ini menegaskan, tiada seorang pun boleh membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak dan sarung tangan getah sekerap melainkan jika orang itu memegang satu Permit PST-G.
Katanya, tiada tindakan kes diambil oleh PKPDNHEP Raub memandangkan tiada kesalahan dikesan di bawah undang2 yang dikuatkuasakan.
“Tindakan kes kesalahan di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh Lembaga Getah Malaysia, tindakan siasatan selanjutnya akan dijalankan oleh Lembaga Getah Malaysia,” katanya.