RUGI RM200,000 SEBAB 20,000 EKOR IKAN SANGKAR MATI
RUGI RM200,000 SEBAB 20,000 EKOR IKAN SANGKAR MATI
JERANTUT: Seorang pengusaha ikan sangkar kerugian kira-kira RM200,000 kerana dianggarkan 20,000 ikan ternakannya mati di Jerantut Feri, hari ini.
Kerugian dipercayai turut dialami oleh kira-kira 10 pengusaha ikan sangkar lain yang terletak sepanjang Sungai Pahang berdekatan Jerantut Feri.
Seorang penternak ikan sangkar di Kampung Jerantut Feri, Mohd Nasir Zulkifli (43) berkata, kira-kira 20,000 ekor ikan sangkar yang berada di dalam enam sangkar ikan daripada 17 sangkar mati dan timbul sejak dua hari lalu.
“Ikan sangkar saya mati sejak semalam selepas hujan lebat dan paras air sungai naik mendadak melanda di kawasan sungai beberapa hari lalu.
“Selepas itu, air sungai mulai surut sejak semalam, mengakibatkan ikan saya mati, punca ikan mati belum diketahui, tetapi air sungai terlalu keruh, ”katanya.
Katanya, ikan-ikan itu dijangka boleh dijual awal minggu depan dan dianggarkan berharga RM10.00 seekor.
Seorang lagi pengusaha, Afzalrullah Isharum (28) berkata, sepatutnya ikan-ikan itu boleh dijual minggu ini kerana saiz dan beratnya dianggarkan antara 800 gram sehingga 1.2 kilogram.
“Kalau dianggarkan ada 10 pengusaha ikan sangkar yang terlibat akan mengakibatkan kerugian yang besar sehingga jutaan ringgit.
“Semasa musim tengkujuh lalu yang mengakibatkan banjir dan paras air sungai naik di kawasan ini, tidak berlaku ikan mati, tetapi hairan kenapa hujan beberapa hari baru –baru ini menyebabkan kejadian seperti ini,”katanya.