UMP TANGGUH KEMASUKAN PELAJAR DARI SABAH, ZON MERAH
Berita Nasional
UMP TANGGUH KEMASUKAN PELAJAR DARI SABAH, ZON MERAH
KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) menangguhkan urusan kemasukan pelajar dari Sabah dan Zon Merah secara bersemuka di kampus UMP Pekan dan Gambang yang dijadualkan secara berperingkat mulai 12 Oktober hingga 14 Oktober depan.
Proses pendaftaran pelajar baharu dilakukan secara dalam talian mulai 5 hingga 9 Oktober 2020 bagi tujuan pengaktifan status sebagai pelajar UMP termasuk bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato Dr Yuserrie Zainuddin, UMP juga mengambil langkah menangguhkan kemasukan pelajar yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah dalam tempoh 14 hari sebelum hari pendaftaran.
“Arahan penangguhan kemasukan pelajar secara fizikal ini meliputi semua peringkat pengajian dan kategori pelajar UMP. Proses pendaftaran pelajar baharu dari Sabah dan Zon Merah hendaklah dilakukan secara dalam talian dan kembali pulang ke UMP mengikut prosedur sedia ada selepas keadaan kembali pulih bagi negeri Sabah dan Zon Merah,” katanya.
Beliau berkata, kemasukan pelajar baharu dan lama yang bukan dari Sabah dan Zon Merah adalah kekal seperti dijadualkan dan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.
Katanya, tindakan itu diambil selari dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyarankan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan Zon Merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.
Justeru, semua Ketua Pusat Tanggungjawab dan pelajar UMP dinasihatkan supaya mengambil langkah waspada dalam mencegah risiko penularan wabak COVID-19 di UMP dengan mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan.
Pelajar juga diingatkan sentiasa peka terhadap sebarang pemakluman rasmi, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari masa ke semasa.
Dalam pada itu, pelaksanaan Minggu Induksi Siswa (MINDS) dan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan diteruskan mengikut jadual secara dalam talian mengikut kalender akademik UMP.
Pengurusan UMP sentiasa memantau rapat perkembangan pandemik COVID-19 dan memandang serius terhadap laporan peningkatan kes yang berlaku sejak akhir-akhir ini.