JKM RAI WARGA EMAS SANG RIANG
BERA: Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengambil inisiatif meraikan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia di Rumah Kebajikan Sang Riang, dekat sini, hari ini.
Pengerusi Rumah Kebajikan Sang Riang, Yap Yoke Moey berkata, selain menyediakan pelbagai hidangan kepada penghuni rumah kebajikan itu, sambutan tahun ini dimeriahkan lagi dengan pengagihan sumbangan kepada warga emas yang ditempatkan di situ.
“Sambutan ini adalah sebahagian daripada acara atau program tahunan kami untuk meraikan penghuni di (Rumah Kebajikan) Sang Riang.
“Kebetulan sambutan (Hari Warga Emas Sedunia) tahun ini berkongsi tarikh sama dengan Mooncakes Festival, jadi ia lebih bermakna dan meriah,” katanya.
Yoke Moey berkata, bantuan dan kerjasama kakitangan JKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam menjaga keselamatan dan kebajikan penghuni Pusat Jagaan Sang Riang, sangat dihargai.
Katanya, pihak pengurusan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menghulurkan bantuan bagi memastikan penghuni tempat itu dapat hidup dengan lebih selesa.