PPM RAMPAS ROKOK SELUDUP RM8 JUTA
Berita Jenayah
PPM RAMPAS ROKOK SELUDUP RM8 JUTA
PELABUHAN KLANG: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai jenis rokok seludup serta arak bernilai hampir RM8 juta di sebuah gudang di Telok Gong, dekat sini, petang semalam.
Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat, berkata sindiket berkenaan berjaya dipatahkan selepas risikan selama dua bulan dijalankan pasukannya.
Katanya, dalam serbuan yang diadakan pada jam 4 petang semalam, pasukan serbuan mengekori sebuah lori lima tan jenis bonded dari Banting.
“Sebaik tiba di gudang, sebuah lagi lori di kesan keluar dan diletakkan di satu kawasan lapang di sebelah gudang berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap dua lori serta gudang berkenaan menemukan 1,059 kotak rokok putih serta 84 kotak yang mengandungi 1,008 botol arak pelbagai jenama.
“Kesemua rampasan rokok dan arak termasuk cukai serta dua lori dianggarkan hampir RM8 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan itu lima lelaki berusia 24 hingga 35 tahun ditahan membabitkan dua warga tempatan yang bekerja sebagai pemandu lori serta tiga warga Bangladesh.
Katanya, barang seludup itu dibawa dengan menggunakan lori kontena dari Pelabuhan Pulau Pinang dan dipercayai diisytihar sebagai barangan lain berikutan penemuan tin biskut, pakaian terpakai, beg berjenama tiruan dan lain-lain.
Jelasnya, rokok dan minuman keras berkenaan dipercayai di seludup dari Vietnam dan pihaknya juga akan mengesan beberapa lagi kontena yang membawa muatan yang sama ke beberapa negeri lain.
“Kita percaya mereka menggunakan laluan darat iaitu menerusi pelabuhan selepas laluan tikus diserbu menerusi Op Benteng.
“Sindiket akan membawa rokok ke satu kawasan sunyi yang mana peniaga yang berminat akan mengambil rokok daripada mereka dan dijual di kedai runcit sekitar Selangor dan Kuala Lumpur
“Ini adalah rampasan terbesar PPM sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, rampasan dan penahanan dibuat mengikut Akta Kastam 1967.