SIAPA KENAL KANAK-KANAK INI?
SIAPA KENAL KANAK-KANAK INI?
KUALA LUMPUR: Polis meminta kerjasama orang ramai bagi membantu mengenal pasti identiti mayat individu yang ditemukan dalam keadaan reput di sebuah rumah kosong di Jalan Sentul, di sini, pada 1 Mac lalu.
Menurut Ketua Balai Polis Sentul, Inspektor Mohd Hairie Osman, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu jam 5.18 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati rumah berkenaan yang juga kuarters milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah kosong.
“Pemeriksaan dilakukan mendapati mayat berkenaan dilihat kelihatan berada dalam keadaan terbaring di tengah rumah dan kepala tergantung serta reput,” katanya.
Mohd Hairie berkata, hasil temubual dilakukan dengan saksi iaitu penduduk yang tinggal bersebelahan rumah kosong berkenaan mendapati dia sudah menghidu bau busuk sejak lebih satu minggu.
Katanya, mayat itu dihantar ke Instut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, hasil bedah siasat dilakukan mendapati punca kematian adalah disebabkan tergantung.
“Siasatan awal dilakukan mendapati tiada bukti dan petunjuk di lokasi yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah. Identiti si mati juga tidak dapat dipastikan dan cap jari si mati tidak dapat diperolehi akibat mayat sudah reput.
“Kami hanya menemukan dua gambar kanak-kanak berbangsa India bersama mayat,” katanya, lapor Harian Metro.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Sarjan Rahime Roslan di talian 019-3299546 atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Ini termasuk bagi membantu mengesan waris si mati melalui pengecaman gambar yang ditemui bersama mayat berkenaan,” katanya.