PM PAKISTAN POSITIF COVID-19
PM PAKISTAN POSITIF COVID-19
KARACHI: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, positif COVID-19 semalam, kata pegawainya.
“Ketika ini, pejabat perdana menteri hanya dapat mengesahkan bahawa Perdana Menteri positif COVID-19 dan kini melakukan pengasingan kendiri,” kata pejabatnya.
Sementara itu, jurucakap Perdana Menteri, Shahbaz Gill, berkata Khan menderita batuk dan demam ringan dan keputusan ujian saringan semalam mendapati beliau positif.
Bekas pemain kriket berusia 68 tahun itu menerima suntikan vaksin Sinopharm buatan China pada Khamis, ketika negara itu berhadapan gelombang ketiga virus itu.
“Jangan kaitkan dengan vaksin COVID-19. Sistem imuniti badan hanya berkembang dalam beberapa minggu selepas vaksin diberikan. Pastikan orang tua terus diberikan (vaksin), begitu juga orang tersayang,” katanya.
Khan mungkin dijangkiti sebelum mendapat suntikan vaksin, dalam beberapa siri kunjungan awam minggu ini, kata Menteri Penerangan, Shibli Faraz kepada saluran televisyen Geo News.
Pada awal pagi semalam, penasihat kesihatan Perdana Menteri, Faisal Sultan menyatakan peningkatan kes positif virus sejak beberapa hari lalu sangat membimbangkan.
Beliau menyatakan jangkitan itu cukup terlihat membebankan sistem penjagaan kesihatan, terutama di wilayah Punjab yang paling ramai penduduk.
Angka kes mula meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sejurus selepas varian United Kingdom pertama kali dilaporkan di Karachi pada akhir Disember.
Lebih 620,000 kes dan hampir 13,800 kematian dilaporkan sejak wabak itu sampai ke negara ini, tetapi ujian saringan yang terhad menunjukkan bahawa angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi, lapor Agensi.
Pakistan negara miskin yang mengelak perintah sekatan sepenuhnya, sebaliknya melaksanakan penutupan pintar yang menyaksikan kawasan kejiranan ditutup untuk jangka masa pendek, serta sekatan untuk makan di dalam kawasan tertutup dan perjumpaan besar.
Namun, banyak arahan sekatan telah diabaikan, dan Sultan mengkritik kurangnya penguatkuasaan pentadbiran dan kurangnya kepatuhan masyarakat.
Beijing telah menyumbangkan sejuta dos vaksin kepada Pakistan, yang mana negara dengan jumlah penduduk melebihi 220 juta itu telah mula memberikan vaksin kepada pekerja kesihatan dan orang yang berusia lebih 65 tahun.
Sebaik wabak itu dikesan, Khan menyatakan negara itu tidak panik, dengan mengatakan 97 peratus pesakit pulih sepenuhnya, namun beberapa bulan kemudian memberi amaran apabila orang tidak menganggapnya serius.