HELAH SINDIKET BITCOIN TERBONGKAR
HELAH SINDIKET BITCOIN TERBONGKAR
KUANTAN: Penyambungan elektrik secara haram tanpa meter dibelakang kotak penggera keselamatan antara helah baharu digunakan sindiket perlombongan mata wang Bitcon di daerah ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang, Rozianis Mohd Noor berkata, dinding yang disimen dibelakang kotak penggera keselamatan itu ditebuk dan dilakukan penyambungan secara haram bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan pemilik premis.
“Ini helah terbaharu yang digunakan anggota sindiket… sebelum ini mereka ada menebuk dinding dan lantai premis bagi memasukan kabel elektrik yang disambung secara haram tanpa meter.
“Mereka juga pernah bertindak menutup sambungan kabel dan lubang yang tebuk pada dinding menggunakan banting iklan bersaiz kecil, iklan tawaran premis untuk disewa,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, taktik itu dikesan selepas pemeriksaan di 22 premis sindiket perlombongan mata wang Bitcoin di lima lokasi di daerah ini, sejak semalam.
Operasi Bitcoin itu dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
Jelasnya, terdapat beberapa premis Bitcoin beroperasi di Fajar Jaya, Gambang, Jaya Gading, Kemunting dan Balok dikesan, namun ketika serbuan dilakukan, semua premis tiada penjaga.
Tambahnya, kebanyakan premis diperiksa itu pernah diserbu sebelum ini, namun mereka beroperasi semula dengan membuat sambungan baharu seolah-olah tidak takut dengan undang-undang sedia ada.
“Sebab itu, pihak TNB memandang serius dengan kegiatan sindiket bitcon ini kerana mereka tetap berani membuat sambungan elektrik secara haram tanpa meter sehingga menyebabkan pihak kita berdepan kerugian setiap tahun.
“Sebagai contoh, tahun lalu TNB Pahang kerugian RM3.2 juta angkara perbuatan sindiket ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rozianis berkata, bermula tahun ini TNB mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah setiap kali mengadakan operasi.
Katanya, ini kerana kuasa menyita barangan dan peralatan yang terdapat dalam premis Bitcoin dibawah kuasa PBT dan percaya tindakan ini dapat melumpuhkan kegiatan terbabit.
“Saya difahamkan pada operasi Bitcoin siri kelima kali ini MPK turut bertindak memusnahkan bilik dalam premis yang disediakan tanpa kebenaran.
“Kegiatan perlombongan Bitcoin membabitkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi dan beroperasi 24 jam, bagi mengelak membayar bil yang tinggi mendorong pihak terbabit mencuri bekalan elektrik dengan cara membuat sambungan haram tanpa meter,” katanya.