PEMANCING TERPERANGKAP DI HUTAN BAKAU
PEMANCING TERPERANGKAP DI HUTAN BAKAU
KUCHING: Keseronokan tiga sahabat memancing di tepi pantai Kampung Trombol, di Telaga Air di sini, bertukar detik mencemaskan apabila terperangkap di kawasan hutan bakau di tepi pantai berkenaan akibat air pasang.
Sehingga jam 5 petang ini, tiga lelaki terbabit, Azrol As-obeng, 31; Norazi Bahar, 30 dan Mohd Syahril Tomudi, 27, masih terperangkap di kawasan itu dan memanjat pokok bakau bagi mengelak air laut semakin tinggi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, tiga lelaki terbabit yang terlalu asyik memancing dipercayai terperangkap sejak jam 2.30 petang tadi selepas mereka tidak menyedari air laut pasang dengan cepat, lapor BH Online.
Beliau berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.56 petang tadi dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dibantu tiga anggota dari BBP Tabuan Jaya dikerah ke lokasi.
“PGO yang berjaya menghubungi seorang daripada mereka pada jam 5 petang dimaklumkan, air laut sudah sampai di tempat tiga lelaki itu berlindung.
“Mereka memanjat pokok bagi mengelak air yang semakin naik dan bomba mengarahkan mereka terus kekal di atas pokok sehingga bantuan tiba,” katanya.
Beliau berkata, sebuah bot dari BBP Tabuan Jaya, sudah diarah ke lokasi dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga sudah dihubungi bagi mendapatkan bantuan berikutan hujan lebat di lokasi ketika ini.
GAMBAR HIASAN
“Anggota dari BBP Petra Jaya pula berjalan menyusuri kawasan pantai dari sebuah chalet yang terletak 2.96 kilometer dari lokasi tiga mangsa terperangkap,” katanya.
Sehingga jam 6 petang, ketiga-tiga mangsa menghubungi bomba dan memaklumkan mereka masih berada di atas pokok, manakala tiga motosikal yang diletakkan di tepi pantai itu sudah ditenggelami air.