WARGA ASING DITAHAN POLIS CUBA BERI RASUAH
WARGA ASING DITAHAN POLIS CUBA BERI RASUAH
BENTONG: Seorang warga asing melakukan cubaan memberi rasuah kepada anggota polis di Bukit Tinggi di Bentong untuk mendapatkan kebenaran perjalanan merentas sempadan antara negeri hari ini.
Lelaki berusia 28 tahun itu, cuba menawarkan RM200 kepada anggota polis untuk mendapatkan dokumen kebenaran perjalanan, ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Raub.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku ketika suspek tiba di Balai Polis Bukit Tinggi kira-kira jam 9.40 pagi untuk mendapatkan kebenaran perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Setelah permohonannya berserta dokumen sokongan ditolak, tiba-tiba, lelaki itu mengeluarkan sejumlah wang tunai dan menyerahkan RM200 kepada empat anggota polis termasuk ketua balai polis yang berada di kaunter.
“Suspek memohon pihak polis untuk memberi kelulusan dokumen perjalanan.
“Lelaki itu ditahan dan kemudian diserahkan kepada SPRM cawangan Raub untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Zaiham menasihati orang ramai agar tidak cuba memberi sogokan kepada anggota polis untuk mendapatkan kebenaran perjalanan merentas negeri atau daerah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa sekarang.