PENUNJUK PERASAAN DESAK PRESIDEN LETAK JAWATAN
PENUNJUK PERASAAN DESAK PRESIDEN LETAK JAWATAN
BRASILIA: Ratusan individu menyertai tunjuk perasaan di seluruh Brazil, semalam menuntut Presiden Jair Bolsonaro meletak jawatan kerana gagal menangani pandemik COVID-19 dengan berkesan.
COVID-19 mengorbankan lebih 223,000 mangsa di Brazil, kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat (AS) yang merekodkan lebih 440,000 maut.
Kira-kira 200 orang berkumpul di ibu kota Brasilia sambil memegang papan tanda dan sepanduk Bolsonaro Out! dan Impeachment Now!, manakala beberapa pemandu turut memperlahankan kenderaan dan membunyikan hon sebagai tanda sokongan.
Tunjuk perasaan itu lebih besar berbanding hujung minggu lalu, dianjurkan parti dan kumpulan sayap kiri, lapor AFP.
GAMBAR IHSAN AFP
Sekumpulan penunjuk perasaan semalam, berdiri di depan bangunan Kongres Nasional sambil memakai beg plastik di kepala seolah-olah pesakit COVID-19 yang maut akibat hospital kehabisan oksigen di negeri utara Amazonas, selain di negeri berjiran iaitu Para dan Roraima.
Bolsonaro sering kali meremehkan pandemik itu dan menyifatkan virus COVID-19 sebagai selesema kecil dan meminimumkan peraturan penggunaan pelitup muka serta penjarakan fizikal.
“Hasil salah tadbir ini mengakibatkan lebih 220,000 kematian COVID-19. Cukup dengan Bolsonaro, pecat segera!” kata Ruth Venceremos, aktivis yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan itu.
Protes anti-Bolsonaro juga berlaku di Sao Paulo dan Rio de Janeiro.
Sistem kesihatan di Manaus, ibu negeri Amazonas, hampir runtuh pada pertengahan bulan lalu, ekoran lonjakan kes COVID-19 dan kekurangan bekalan oksigen, memaksa hospital memindahkan lebih 350 pesakit ke negeri berhampiran.
Beberapa pakar menjelaskan krisis itu semakin parah apabila munculnya varian baharu yang lebih mudah berjangkit.
Bagaimanapun, ia tidak mengehadkan Bolsonaro daripada kritikan hebat susulan program vaksinasi yang bermula sejak dua minggu lalu dengan persediaan awal hanya 12.8 juta dos vaksin bagi populasi 212 juta.